BTS Media

Azmin kata beliau lebih awal berbincang dengan Elon Musk

BEKAS menteri perdagangan antarabangsa dan industri Mohamed Azmin Ali berkata beliau sejak awal lagi mengadakan perbincangan dengan syarikat milik Elon Musk.

Beliau berkata demikian sebagai reaksi kepada Perdana Menteri Anwar Ibrahim yang disifatkan sebagai “menjual nama” tokoh teknologi itu dalam kempen politiknya, lapor MalaysiaNow.

Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Selangor itu berkata, lawatan ke pejabat Musk di Amerika Syarikat dilakukan tahun lepas.

“Aku dah pergi ibu pejabat Elon Musk, berunding dengan SpaceX dan bincang bawa pelaburan.

“Aku lebih awal daripada kamu, sebab itu aku hantar semula ‘posting’ tahun lepas,” katanya dalam satu ceramah di Gombak, Selangor malam tadi.

Azmin merujuk kepada berita mengenai lawatannya yang dikongsi semula di laman media sosial beliau.

Pada bulan Mei 2022, sewaktu delegasi misi dagangan Malaysia diketuai bekas perdana menteri, Ismail Sabri Yaakob mengadakan pertemuan dengan pemain industri di Amerika Syarikat, dan Azmin telah melawat fasiliti SpaceX di Los Angeles bagi membincangkan perkhidmatan Starlink di Malaysia.

Starlink merupakan syarikat satelit dikendalikan SpaceX untuk perkhidmatan rangkaian Internet.

Pada hari Jumaat, Anwar mengadakan ‘pertemuan’ dengan Musk menerusi satu sidang maya selama 25 minit.

Azmin turut menyindir sidang itu apabila Musk menghantar beberapa tweet semasa pertemuan tersebut.

Sebelum itu, Anwar menggambarkan seolah-olah pertemuan bersama Musk diadakan secara fizikal.

Menurut MalaysiaNow, Anwar juga tidak membuang masa menjadikan pertemuan itu sebagai modal politik untuk mengukuhkan kredibiliti beliau.

“Orang cuba nak cakap dengan dia (Musk), nak pujuk dia datang ke negara begitu sukar. Saya Alhamdulillah.

“Dia setuju untuk melabur lagi ke Malaysia, anggap Malaysia sebagai negara penting dan Insya Allah dalam masa terdekat, dia akan datang ke Malaysia,” kata Anwar dalam satu majlis.

-BTS Media

Leave a Comment