BTS Media

1,184 calon STPM peroleh PNGK 4.00

SERAMAI 1,184 calon Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) 2022 mendapat Purata Nilai Gred Keseluruhan (PNGK) 4.00.

Pengerusi Majlis Peperiksaan Malaysia (MPM), Prof Datuk Dr Mohd Ekhwan Toriman berkata, calon yang mencapai PNGK 4.00 bertambah berbanding tahun 2021, iaitu seramai 874 orang.

Dalam sidang media semasa mengumumkan keputusan STPM 2022 di Kuala Lumpur hari ini, beliau berkata seramai 1,009 calon atau 85.22 peratus daripada 1,184 calon terdiri daripada pelajar B40.

Beliau berkata, bagi PNGK Nasional STPM 2022 angka telah meningkat kepada 2.82 berbanding 2.79 tahun sebelumnya.

“PNGK Nasional ini juga merupakan PNGK Nasional tertinggi sejak dilaksanakan peperiksaan STPM,” katanya.

Menurut Mohd Ekhwan, secara keseluruhan pencapaian PNGK menyaksikan mereka yang memperoleh PNGK 3.75 ke atas sebanyak 9.59 peratus, manakala PNGK 3.00 ke atas 42.96 peratus.

“Bagi PNGK 2.75 dan ke atas ialah 56.97 peratus dan PNGK 2.00 dan ke atas ialah 89.75 peratus adalah meningkat berbanding tahun 2021,” katanya.

Daripada 43,687 calon yang mendaftar, 41,701 hadir untuk menduduki peperiksaan pada ketiga-tiga semester STPM 2022.

“Daripada 41,701 calon yang hadir, sebanyak 99.98 peratus atau 41,694 calon layak dianugerahkan Sijil STPM 2022, manakala hanya 0.02 peratus atau tujuh calon sahaja tidak layak mendapat sijil ini,” katanya.

Semakan keputusan boleh dibuat menerusi http://stpm.mpm.edu.my/stpmK dan sistem pesanan ringkas (SMS) dengan menaip STPM/No. Kad Pengenalan/Angka Giliran dan hantar ke 15888 bermula 11 pagi ini hingga 12 tengah hari, Ahad ini.

-BTS Media

Leave a Comment