KUALA LUMPUR: Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan mendedahkan ada pihak yang menggunakan ‘kabel’ dalam kalangan pemimpin tertinggi negara untuk membeli syarikat Pharmaniaga Bhd dengan harga murah.
Oleh yang demikian, beliau mengambil langkah dengan tidak membenarkan urusan itu berlaku sambil menegaskan jika ada masih berdegil mahukan syarikat berkenaan, mesti ‘langkah mayatnya’ terlebih dahulu.
Katanya, beliau terpaksa ‘bertegang urat’ dalam mesyuarat bersama Jemaah Menteri mengenai hal itu bagi mempertahankan syarikat berkenaan.
“MINDEF (Kementerian Pertahanan) bagi berbilion-bilion (ringgit) untuk jalankan perniagaan, uruslah dengan elok-elok.
“Bagaimana saya bertengkar dalam (mesyuarat) Kabinet, hampir-hampir saja Pharmaniaga hilang konsesinya. You (anda) tanya (Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Tabung Angkatan Tentera (LTAT) Datuk (Ahmad) Nazim (Abdul Rahman) dan tanya MOF (Kementerian Kewangan).
“Bukan senang. Sampai ada orang buat bidaan melalui pemimpin tertinggi nak beli syarikat kita. Nak beli murah-murah. Macam-macam.
“Jadi saya cakap tidak. Langkah mayat saya dulu. Biar saya uruskannya. Biar kita sama-sama uruskan syarikat kita dan saya sangat pasti kita boleh bangunkan sendiri,” katanya ketika berucap merasmikan Pelan Strategik LTAT 2023-2025 (MAMPAN 25) di sini hari ini.