Oleh Zainal AS Rashid
SURUHANJAYA Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata walaupun Standard Mandatori Mengenai Harga Capaian (MSAP) terkini berkuat kuasa pada 1 Mac, pengguna hanya boleh menjangkakan harga jalur lebar lebih murah selepas perjanjian akses dimuktamadkan dengan penyedia perkhidmatan Internet (ISP)
Ia dijangka berakhir pada hujung September.
Dalam satu kenyataan, SKMM berkata sebagai tindak balas kepada laporan sebuah portal teknologi tempatan yang mempersoalkan mengapa tidak ada pengurangan harga walaupun selepas empat bulan perjanjian MSAP berkuat kuasa.
MSAP pertama yang dilaksanakan pada 2018, ketika Gobind Singh Deo memegang jawatan Menteri Komunikasi dan Multimedia telah mengurangkan harga hingga 30 peratus bagi pelan jalur lebar asas.
Kenyataan itu berkata, walaupun pelaksanaan MSAP berkuat kuasa pada 1 Mac 2023, namun pengurangan sebenar harga runcit jalur lebar hanya boleh berlaku selepas perjanjian akses antara penyedia perkhidmatan selesai.
Ia menambah bahawa kebanyakan penyedia akses telah pun atau sedang menerbitkan Tawaran Akses Rujukan (RAO) mereka, yang akan menjadi asas untuk rundingan bagi mewujudkan perjanjian akses.
SKMM menambah, kerajaan melancarkan Pakej Perpaduan Jalur Lebar Internet Tetap pada Februari untuk membantu golongan berpendapatan rendah.
Sejak pakej itu diperkenalkan, 6,066 pengguna telah mendaftar untuk pelan 30Mbps (megabit sesaat), berharga RM69 sebulan.
-BTS Media