BTS Media

Perdana Menteri Belanda Mark Rutte undur dari politik selepas 13 tahun

GAMBAR ATAS: Algemeen Nederlands Persbureau BV (ANP).

 

Oleh Yusoff A. Shariff

PERDANA Menteri Belanda Mark Rutte pada hari Isnin berkata bahawa beliau akan meninggalkan politik selepas hampir 13 tahun memimpin negara itu.

Pengumuman tersebut adalah kejutan kerana ia menamatkan zamannya sebagai pemimpin paling lama berkhidmat dalam sejarah Belanda.

Digelar “Teflon Mark” kerana mampu bertahan mengharungi pelbagai skandal yang melanda empat kerajaan pimpinannya.

Pemimpin Liberal Konservatif itu berkata beliau akan berundur selepas pilihan raya yang dicetuskan oleh keruntuhan gabungannya secara berturut-turut berhubung dasar suaka negara itu, lapor Dutch News.

Pemimpin kedua Kesatuan Eropah paling lama berkhidmat selepas Viktor Orban dari Hungary itu sebelum ini dijangka meneruskan pimpinannya ke penggal kelima dalam pilihan raya akan datang, tetapi mengejutkan ahli parlimen dengan pengumuman itu.

Rutte yang hidup secara ringkas, dan menunggang basikal untuk ke pejabatnya itu telah berjaya memimpin Belanda apabila negara itu dilanda pelbagai pergolakan ekonomi sejak 2010, termasuk pandemik Covid-19 tidak lama dahulu.

Imej dan cara hidup ringkasnya merupakan tarikan kepada pengundi.

Kerajaan gabungan empat parti Belanda tumbang pada hari Jumaat atas rancangan Rutte untuk mengurangkan bilangan ahli keluarga dari zon perang Ukraine yang dibenarkan untuk mendapatkan suaka di Belanda.

Parti Kristian Demokratik ChristenUnie dan parti Democracy 66 telah membantah keras rancangan Rutte itu.

-BTS Media

Leave a Comment