GAMBAR ATAS: Harian Metro.
AMPANG: Seorang pemandu lori yang menunggang motosikal secara melawan arus hingga mengakibatkan kematian penunggang motosikal Ducati Panigale di Lebuh Raya Sungai Besi Ulu Kelang (SUKE) pada 14 Jun lalu, diperintah menjalani ujian psikiatri di Hospital Bahagia, Ulu Kinta, Perak.
Majistret, Amalina Basirah Md Top, memerintahkan demikian terhadap Mudzyadaha Mohammad, 42, selepas tertuduh mengaku tidak bersalah sebaik pertuduhan dikemukakan terhadapnya.
Mengikut pertuduhan, bapa tiga anak itu didakwa menunggang motosikal secara melawan arus yang berbahaya kepada orang awam sehingga menyebabkan kematian penunggang motosikal, Ahmad Fadzil Omar Azaddin, 64, di Kilometer 22.2 Lebuhraya SUKE, pada jam 1.10 tengah hari 14 Jun lalu.
Pertuduhan itu mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 (Akta 333/87) dan boleh dihukum di bawah peruntukan akta sama, yang memperuntukkan hukuman penjara tidak kurang lima tahun dan tidak lebih 10 tahun serta denda tidak kurang RM20,000 dan tidak lebih RM20,000 selain hilang kelayakan memegang atau mendapatkan lesen memandu tidak kurang lima tahun dari tarikh sabitan, jika sabit kesalahan.
Timbalan Pendakwa Raya Annur Athirah Amran memohon jaminan RM15,000 dengan seorang penjamin dan tertuduh perlu menyerahkan pasport kepada mahkamah serta melaporkan diri di balai polis berhampiran sehingga kes selesai.
“Disebabkan tertuduh mengaku tidak bersalah, dan permohonan peguam untuk tertuduh menjalani ujian pskiatri, pihak pendakwaan menawarkan jaminan RM15,000 dan pasport diserahkan kepada mahkamah,” kata Annur.
Peguam dari Yayasan Bahagian Guaman Kebangsaan (YBGK) Izleen Ismail memohon jaminan rendah kerana tertuduh adalah Orang Kurang Upaya (OKU) mental serta menerima bantuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM)
“Fakta ini disahkan menerusi surat rujukan yang dikeluarkan oleh seorang doktor di Hospital Kajang. Ini membuktikan bahawa semasa kejadian tertuduh tidak dapat berfikir dengan waras mengakibatkan berlakunya perlanggaran berlawanan,” katanya.
Menurut Izleen, tertuduh mengalami masalah itu kerana beliau kehilangan kerja sebagai pemandu kereta api sehingga menyebabkannya mengalami tekanan.
“Akibat daripada kesempitan wang dan faktor ekonomi yang meruncing, tertuduh mengalami tekanan yang bertambah pada setiap hari kerana beliau hanya memandu lori yang berpendapatan RM2,200 sebulan dan perlu menyara tiga orang anak manakala isterinya tidak bekerja.
“Sehubungan itu, saya mohon mahkamah memerintahkan tertuduh dihantar ke Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak untuk pemeriksaan mental,” kata Izleen.
Amalina Basirah membenarkan tertuduh diikat jamin RM10,000 dengan seorang penjamin selain menyerahkan lesen memandu kepada mahkamah sehingga kes selesai dan menetapkan 10 Ogos untuk sebutan kes.
“Mahkamah memerintahkan tertuduh menjalani pemeriksaan mental di Hospital Bahagia,” katanya.
Pada 14 Jun lalu, media melaporkan, seorang penunggang motosikal Ducati Panigale meninggal dunia akibat parah selepas terbabas dan terjatuh dari jejambat Lebuhraya SUKE apabila cuba mengelak penunggang motosikal lain yang melawan arus.
Dalam kejadian kira-kira jam 1 tengah hari itu menyebabkan mangsa melanggar penghadang sebelah kiri jalan lalu terhumban dan jatuh ke bawah pada ketinggian lebih kurang 30 meter.
Selain itu, motosikal yang ditunggang mangsa juga terseret ke tengah jalan dan mayat mangsa ditemui dalam keadaan tertiarap di belakang pagar Stesen Kawalan Syarikat Mengurus Air Banjir dan Terowong Sdn Bhd (SMART) Sungai Klang.
Berikutan kemalangan itu, suspek yang menunggang motosikal secara lawan arus mengakibatkan kemalangan maut di SUKE sudah tampil membuat laporan pada 16 Jun lalu.