BTS Media

KWSP cadang pengeluaran bulanan mandatori umur 55 untuk pengurusan dana lebih baik

Oleh Zainal AS Rashid

KUMPULAN Wang Simpanan Pekerja (KWSP) sedang mempertimbang untuk mewajibkan pengeluaran bulanan bagi pencarum yang mencapai umur persaraan 55 tahun.

Ketua Pegawai Eksekutif KWSP Amir Hamzah Azizan berkata, pengeluaran bulanan itu dibuat secara sukarela pada masa ini.

Beliau berkata ia memberi peluang lebih baik kepada individu untuk menguruskan dana persaraan mereka.

Pada masa sama, beliau berkata pengeluaran itu juga memberi peluang kepada pencarum menerima dividen tahunan dengan baki simpanan mereka.

Amir berkata, KWSP menyediakan pilihan pengeluaran untuk semua ahli yang mencapai umur persaraan, sama ada sepenuhnya atau sebahagian, lapor Sinar Daily.

“Bagaimanapun, tidak ramai yang memilih pengeluaran bulanan dan ini memberi ruang kepada kami untuk mempromosikannya lebih banyak lagi,” katanya kepada media semasa Persidangan Kebajikan Sosial Antarabangsa 2023, semalam.

Bagaimanapun, Amir berkata lebih banyak kajian dan perbincangan diperlukan dengan kerajaan.

“Buat masa ini tumpuan kami adalah untuk menggalakkan ahli mempunyai akaun simpanan dengan skim yang ada,” katanya.

Sehingga Mac 2023, KWSP merekodkan 116,423 pendaftaran baharu menjadikan jumlah ahli KWSP seramai 15.8 juta. Daripada jumlah itu sebanyak 8.45 juta adalah aktif, iaitu 50 peratus daripada 16.81 juta tenaga pekerja Malaysia.

-BTS Media

Leave a Comment