GAMBAR ATAS: Bernama.
Oleh Zainal AS Rashid
LEBIH 60 peratus daripada 156 kertas siasatan (IP) membabitkan kes berprofil tinggi dan berkepentingan awam dibuka Bahagian Gerakan Khas (BOK) Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) antara 2020 dan 8 Jun tahun ini melibatkan ahli politik.
Pengarah Kanan BOK, Tan Kang Sai berkata, siasatan itu menghasilkan penahanan seramai 211 individu, dengan 91 daripadanya dibawa ke mahkamah dan melibatkan 454 pertuduhan.
“Dalam tempoh sama, SPRM turut merampas wang tunai RM51,132,539, harta dan wang tunai berjumlah RM10,465,873.39 serta mengeluarkan kompaun berjumlah RM128,968,750,” katanya kepada Bernama baru-baru ini.
Beliau berkata penyiasatan berprofil tinggi dan kepentingan awam, terutamanya berkaitan transaksi kewangan melibatkan bank dan institusi kewangan asing, mempunyai cabaran tersendiri.
Menyiasat jejak wang menjadi sukar apabila wang terbabit dipindahkan ke akaun di luar negara kerana setiap negara mempunyai undang-undang berbeza untuk melindungi sistem perbankannya, katanya sambil menambah bahawa bank dan institusi kewangan mempunyai hak untuk tidak bekerjasama dan enggan memberikan maklumat bagi memudahkan siasatan.
Tan berkata, pihaknya mendapati kebanyakan bukti mengenai jejak wang yang dibawa ke mahkamah hanya melibatkan bank dan institusi kewangan tempatan.
Menurut beliau, antara kes berprofil tinggi yang telah disiasat oleh BOK ialah Op Mitra, Op Hire dan Op Marii melibatkan penyalahgunaan dana berjumlah ratusan juta ringgit yang diperuntukkan kerajaan untuk pembangunan masyarakat India, pekerja dan kaum industri automotif negara.
Cabaran lain yang dihadapi BOK, beliau mendakwa, ialah apabila kes yang disiasat disensasikan oleh media dan ahli politik.
“Ini membolehkan pihak terbabit mengambil peluang untuk memusnahkan dokumen penting seperti urus niaga kewangan, dan melarikan diri.
“Teknologi hari ini turut memberikan cabaran tersendiri di mana transaksi kewangan melibatkan bank, institusi kewangan tempatan malah institusi kewangan asing boleh dijalankan menggunakan hanya telefon bimbit.
“Memandangkan cabaran itu, SPRM menggunakan pakar perakaunan, kejuruteraan dan undang-undang sebagai sebahagian daripada pasukan penyiasat BOK untuk memastikan siasatan menyeluruh sebelum menyerahkan IP (kertas siasatan) kepada Jabatan Peguam Negara,” katanya.
Beliau berkata BOK juga menggunakan Pengurusan Siasatan Berkesan (EIM) dan Penyiasatan Berasaskan Pasukan Pengurusan (MTI) untuk meningkatkan keyakinan orang ramai terhadap kuasa SPRM sebagai agensi pencegahan rasuah yang relevan dan terkemuka.
Ditubuhkan pada 2010, BOK ialah unit siasatan khas SPRM untuk menyiasat kes berprofil tinggi dan kepentingan awam serta yang menjejaskan keselamatan negara.
-BTS Media