BTS Media

Sindiket perjudian dalam talian dilindungi ahli politik, kata Saifuddin

Oleh Fetty Rara

SINDIKET perjudian haram dalam talian mendapat perlindungan daripada ahli politik tertentu, justeru menyukarkan usaha untuk membanteras masalah itu, kata Saifuddin Nasution Ismail.

“Saya boleh mengesahkan bahawa terdapat unsur perlindungan politik untuk perjudian dalam talian (sindiket), kata Menteri Dalam Negeri, sambil menambah bahawa ini adalah cabaran terbesar yang dihadapi oleh KDN, polis dan kerajaan, lapor The Star.

“Bagaimana ahli politik boleh mengawasi kegiatan jenayah sebegitu demi wang sedangkan ia telah menyebabkan kemusnahan sosial dan ekonomi?” katanya.

Saifuddin berkata kesungguhan politik dan keperluan meminda Akta Rumah Judi Terbuka 1953 serta Akta Pertaruhan 1953 untuk merangkumi kesalahan berkaitan permainan dalam talian diperlukan.

“Akta dari 1953 tidak pernah dipinda dan siapa yang patut meminda ini? Parlimen dan ahli politik. Ada usaha pada 2019, tetapi lambat,” kata Saifuddin.

“Saya akan berbincang dengan Tambun (Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim) kerana Akta itu di bawah Kementerian Kewangan,” katanya di Parlimen pada Khamis (15 Jun).

Saifuddin menjawab soalan Ramanan Ramakrishnan (PH-Sungai Buloh) mengenai langkah KDN terhadap perjudian dalam talian, kesan negatifnya kepada masyarakat dan sama ada kementerian mempunyai pangkalan data mereka yang terlibat.

Saifuddin berkata dengan meminda undang-undang berusia 70 tahun itu, maka undang-undang akan dapat merangkumi perjudian haram dalam talian, dan seterusnya membolehkan penguatkuasaan sewajarnya terhadap pelaku.

“Pada tahun 1953, perjudian atau pertaruhan melibatkan perkara seperti sabung ayam. Sekarang, apabila polis mahu mengambil tindakan mereka kalah dalam kes itu. Terdapat banyak kelemahan, dan penalti paling tinggi di bawah Akta hanya RM50,000,” kata Saifuddin.

Tambahnya, hukuman itu tidak sesuai dengan industri perjudian dalam talian yang bernilai berbilion ringgit.

Saifuddin berkata pihak berkuasa telah menyekat 2,119 laman web dari 2021 hingga Mei 2023, tetapi tetap ada laman dalam talian lain terus muncul untuk menggantikannya.

Beliau juga berkata pihak berkuasa mempunyai sistem pelaporan polis bersepadu, iaitu pangkalan data yang digunakan untuk memantau jenayah siber, termasuk data seperti jenis permainan dalam talian dan platform yang digunakan.

-BTS Media

Leave a Comment