BTS Media

Bekas KP JPA: Penjawat awam dahulu pernah diugut dipecat oleh ahli politik

Oleh Zainal AS Rashid

GESAAN supaya tiada campur tangan politik dalam perkhidmatan awam perlu diberi perhatian sekiranya risiko rasuah dalam institusi itu ingin diminimumkan.

Pengerusi Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia Tan Sri Borhan Dolah berkata ini bagi memastikan perkhidmatan awam dapat menjalankan tugas dengan baik, tanpa campur tangan mana-mana pihak.

Beliau berkata Kerajaan Perpaduan baharu perlu mengembalikan draf Akta Perkhidmatan Awam untuk dibentangkan di Dewan Rakyat kerana ini akan memberi perlindungan kepada perkhidmatan awam.

Borhan, yang merupakan bekas ketua pengarah Jabatan Perkhidmatan Awam, berkata draf yang dirangka pada 2018 itu dilihat sebagai perlindungan yang baik untuk penjawat awam daripada sebarang campur tangan ahli politik atau mana-mana pihak yang berkaitan dengan mereka.

“Draf akta itu bukan sahaja memberi perlindungan tetapi turut menyatakan tindakan yang boleh diambil terhadap penjawat awam yang gagal menjalankan tugas sewajarnya.

“Draf itu diketepikan pada peringkat perbincangan kerana beberapa ahli politik tidak cukup berani untuk merealisasikannya. Ini kerana terdapat satu fasal yang menyatakan bahawa seorang ahli parlimen boleh kehilangan jawatannya jika didapati campur tangan dalam hal perkhidmatan awam.

“Campur tangan boleh berlaku dalam pelbagai bentuk… ada segelintir (ahli politik dahulu) mahu penjawat awam melakukan sesuatu yang bertentangan dengan undang-undang atau peraturan dan mengugut mereka akan ditukar atau dipecat jika tidak melakukannya,” katanya kepada Berita Harian.

Borhan berkata draf akta itu membolehkan pendakwaan ke atas mana-mana ahli politik yang didapati campur tangan atau cuba campur tangan dalam urusan perkhidmatan awam.

“Ia perlu dikembalikan bagi memastikan setiap perkara berkaitan perkhidmatan awam dapat dilakukan dengan tepat, betul dan cepat serta boleh menjadi instrumen yang membolehkan penjawat awam menjalankan tugas yang diamanahkan.”

-BTS Media

Leave a Comment