PEGAWAI polis yang dikenali sebagai “Inspektor Sheila” mendakwa setakat hari ini, dia tidak pernah menerima sebarang surat penggantungan.
Wanita itu, yang nama berdaftarnya ialah S.K. Sheila Sharon, secara ringkas memberitahu media demikian ketika ditemui selepas prosiding hari ini di Mahkamah Majistret Selayang, di mana dia didakwa di hadapan Majistret Chai Guan Hock dan Majistret Nur Hafizah Rajuni secara berasingan, lapor NST.
Inspektor Sheila berkata kenyataan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail pada 22 Jun lalu yang mendakwa dia digantung tugas, mengejutkannya.
“Saya tidak pernah digantung kerja. Sebab itu saya terkejut, kenapa Menteri Dalam Negeri mengeluarkan kenyataan sedangkan sehingga hari ini, saya tidak menerima sebarang surat penggantungan.”
Dia ditemani peguamnya M. Manoharan, yang mengesahkan kepada media bahawa mereka tidak akan menghantar sebarang surat representasi kepada Jabatan Peguam Negara (A-G) untuk menyemak pertuduhan.
“Dia seorang pegawai bersih, jujur dan berdedikasi yang mempunyai banyak potensi.
“Dia daripada keluarga yang baik, di mana bapanya yang juga penjaminnya adalah bekas pegawai polis berpangkat Asisten Superintendan yang berkhidmat selama 39 tahun sebelum ini. Dan dia (Sheila) sendiri pernah bersama pasukan itu selama tujuh tahun.
“Kami mahukan keadilan. Saya tidak akan bertolak ansur dengan ini (caj).
“Saya tidak akan menghantar sebarang representasi, dan kami akan berjuang sehingga akhir,” katanya.
Terdahulu, Sheila didakwa di hadapan Majistret Chai atas satu pertuduhan melakukan ugutan jenayah dengan niat untuk menakut-nakutkan seorang wanita berusia 69 tahun dan satu pertuduhan menghina seorang lelaki berusia 41 tahun.
Pertuduhan masing-masing dirangka mengikut Seksyen 506 dan Seksyen 509 Kanun Keseksaan.
Dia juga didakwa di hadapan Majistret Nur Hafizah atas pertuduhan menakut-nakutkan seorang lans koperal dengan niat untuk menghinanya.
Pertuduhan didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan juga.
Ikat jamin ditetapkan RM3,000 di mahkamah Chai manakala Nur Hafizah menetapkan ikat jamin RM2,000 di mahkamahnya.
-BTS Media