BTS Media

Anwar digesa mohon maaf atas kenyataan ‘seksis’

SEORANG pemimpin Bersatu menggesa Perdana Menteri Anwar Ibrahim memohon maaf secara terbuka kerana didakwa membuat kenyataan seksis terhadap seorang pelajar Tingkatan 6 di sebuah forum awam.

Timbalan Pengerusi Biro Undang-undang dan Perlembagaan Bersatu Sasha Lyna Abdul Latiff membuat gesaan itu susulan respons Anwar terhadap soalan dikemukakan seorang pelajar perempuan dalam sesi dialog awam di Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) di Nilai, Negeri Sembilan, semalam.

Dalam forum itu, Anwar ditanya pelajar terbabit bagaimana Malaysia boleh menjadi negara kelas pertama dan apa yang kerajaan serta belia boleh lakukan untuk merealisasikannya.

Pelajar sama turut bertanya mengenai strategi Putrajaya menangani kemerosotan nilai ringgit.

Anwar dalam responsnya memuji kepetahan pelajar itu bertanya soalan dan berseloroh: “Kalau saya masih muda, saya akan minta nombor telefon dah.”

Moderator forum itu kemudian bergurau: “Kalau Datuk Seri (Anwar) dapat nombor itu, sila bagi saya.”

Anwar menjawab dengan berkata, beliau sekadar bergurau dan isterinya, Dr Wan Azizah Wan Ismail sentiasa menonton siaran langsung acara dihadirinya.

Sasha berkata, keseluruhan episod itu adalah “paparan bahasa diskriminasi dan seksis mengejutkan” kerana kenyataan sebegitu tidak boleh diterima dalam apa jua keadaan, khasnya dalam forum awam.

“Apakah contoh yang ditunjukkan perdana menteri kepada belia negara? Bahawa tidak apa untuk mengabaikan kebijaksanaan dan kemampuan wanita, sebaliknya menganggap mereka objek godaan?

“Persoalan sama tidak akan ditanya jika soalan itu dikemukakan lelaki. Seorang pemimpin, apatah lagi pemimpin negara, tidak boleh mengeluarkan kata-kata demikian kepada pelajar seolah-seolah berjenaka.

“Inilah orang yang gemar menekankan ‘wacana bertamadun’ di setiap forum dan mimbar. Tetapi, wacana bertamadun nampaknya diabaikan kali ini,” katanya.

Sasha berkata, Anwar yang berdekad-dekad memperjuangkan “Reformasi” sepatutnya komited dalam membentuk sebuah negara bebas daripada prejudis dan seksisme.

“Wanita dan kanak-kanak perempuan sepatunya boleh menyertai forum awam serta tempat kerja tanpa takut terhadap seksisme,” katanya yang berharap pemimpin wanita Pakatan Harapan (PH) dan kerajaan perpaduan tidak berdiam diri berhubung tindakan Anwar atau mereka akan dilabel hipokrit.

Timbalan Presiden Muda Amira Aisya Abd Aziz pula menggesa Anwar memohon maaf kerana tidak menghormati wanita.

“Apa yang malangnya, ramai dalam kalangan lelaki dewasa menganggapnya lawak. Anwar perlu minta maaf secara terbuka untuk menunjukkan contoh baik kepada lelaki.

“Jika awak tertarik dengan sikapnya, cukup hanya komen tanpa buat komentar begitu,” katanya menerusi Twitter sambil menambah golongan wanita tidak menganggap tindakan sedemikian sebagai gurauan.

Baca lagi: https://www.freemalaysiatoday.com/category/bahasa/tempatan/2023/06/25/anwar-digesa-mohon-maaf-atas-kenyataan-seksis/

Leave a Comment