KERAJAAN negeri yang terlibat dalam pilihan raya akan datang digesa memaklumkan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) tarikh pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) masing-masing supaya tarikh pengundian dapat ditentukan.
Dalam satu kenyataan pada Rabu (21 Jun), Gabungan Pilihan Raya Bersih dan Adil (BERSIH) berkata ketidaktentuan tarikh pengundian membebankan orang ramai dan sektor perniagaan di enam negeri yang sedang menunggu pengumuman hari pengundian.
“Walaupun beberapa Menteri Besar telah menghadap Sultan atau Yang di-Pertua untuk mendapatkan Perkenan Diraja bagi pembubaran DUN masing-masing, dari pengetahuan kami ada yang masih belum memaklumkan secara rasmi kepada SPR mengenai tarikh pembubaran,” kata BERSIH.
Jawatankuasa pemandu badan pemantau pilihan raya itu menggesa semua negeri supaya lebih bertanggungjawab dengan memaklumkan SPR secara rasmi tarikh pembubaran yang dirancang.
“Ini membolehkan SPR memutuskan tarikh penamaan calon dan hari pengundian dengan segera kerana tidak perlu menunggu pembubaran berlaku.
“Ia hanya memerlukan pemakluman rasmi daripada kerajaan negeri masing-masing,” kata BERSIH.
Ia menambah, pengumuman awal oleh SPR akan memudahkan semua pihak terlibat merancang untuk menghadapi pilihan raya.
“Paling penting, pengundi boleh merancang jadual mereka lebih awal untuk mengundi dalam pilihan raya,” kata BERSIH.
Dilaporkan sebelum ini bahawa enam negeri telah mencapai persetujuan untuk membubarkan DUN masing-masing bagi memberi laluan kepada pilihan raya negeri serentak.
Dewan Undangan Negeri Selangor secara automatik tamat pada 25 Jun, diikuti Kelantan pada 27 Jun, Terengganu pada 30 Jun, Kedah pada 3 Julai, Negeri Sembilan pada 1 Julai, dan Pulau Pinang pada 2 Ogos.
-BTS Media