BERSIH mengutuk penahanan seorang pegawai khas kepada Menteri Besar Selangor Amirudin Shari berhubung hantaran di Twitter terhadap konvoi Ali Rustam, bulan lalu, sambil menyatakan Yang Dipertua Negeri Melaka itu bukan kalis kritikan.
Kumpulan reformasi pilihan raya itu berkata, Yang Dipertua Negeri juga merupakan penjawat awam yang mendapat manfaat wang pembayar cukai dan perlu menerima hakikat bahawa tindak tanduk mereka sentiasa diperhatikan masyarakat awam.
“Mengambil mudah kuasa dan cuba mendiamkan kritikan munasabah hanya merendahkan keabsahan jawatan awam tertinggi peringkat negeri dan juga demokrasi berparlimen.
“Bersih bimbang ciapan kecil seperti itu mengundang tindak balas tidak sepatutnya dengan tiga pegawai hadir menahan seorang rakyat kerana menyatakan rasa tidak puas hati terhadap pegawai awam,” katanya dalam kenyataan.
-ADVERTISEMENT-
Ads by
Dalam hantaran di Twitter, semalam, Jay Jay Denis berkata, tiga pegawai polis dari Alor Gajah menahannya dan dibawa ke Melaka susulan laporan polis dibuat terhadapnya.
Katanya, laporan polis itu dipercayai mempunyai kaitan dengan hantaran videonya pada 6 Sept yang menunjukkan konvoi Ali beredar dari restoran di Medan Damansara, Kuala Lumpur.
Dalam kapsyen, Denis mendakwa menjadi saksi konvoi Ali bersama “lapan (polis) dan tiga kenderaan pengiring” menghalang lalu lintas di Lebuhraya Sprint sebelum melakukan pusingan-U, dengan Ali muncul dari satu kereta berkenaan.
“Saya ingatkan ia membabitkan majlis rasmi penting kebangsaan, namun tidak,” katanya sambil mendakwa Ali berada di restoran itu untuk makan malam bersama keluarga.
Peguam Denis, Ambiga Sreenevasan, berkata beliau dibebaskan kira-kira 11.30 malam selepas diambil keterangan, selain telefon pintar miliknya dirampas.
Dia disiasat mengikut Kanun Keseksaan kerana kenyataan yang boleh menggugat ketenteraman awam.
Bersih berkata, insiden terbabit menunjukkan keperluan Suruhanjaya Bebas Aduan dan Salah Laku Polis, selain menggesa polis menghormati hak berperlembagaan, termasuk menghentikan semua bentuk ancaman terhadap masyarakat awam.
– FMT