GAMBAR ATAS: NSTP.
Oleh Zainal AS Rashid
KETUA Polis Negara, Tan Sri Acryl Sani Abdullah Sani akan bersara awal bulan depan.
Beliau dijangka akan menamatkan perkhidmatannya sebagai pegawai polis tertinggi negara pada minggu pertama bulan Julai walaupun kontraknya hanya dijadualkan tamat pada bulan Oktober.
Susulan itu, tugas mengetuai pasukan polis bagi pilihan raya negeri akan datang yang dijadualkan sama ada bulan Julai atau Ogos akan dilaksanakan oleh timbalannya, Tan Sri Razarudin Husain, lapor BH yang mengesahkan perkara ini dengan beliau.
“Ya, memang benar, saya akan bersara pada minggu pertama Julai.
“Keputusan ini dibuat kerana ada tawaran di luar sana yang perlu saya terima ketika ini,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak memberikan butiran lanjut mengenai tawaran yang diterimanya itu.
Menurut BH lagi, beliau dipercayai akan dilantik menerajui sebuah syarikat perbankan milik kerajaan dalam masa terdekat.
Setakat ini nama bakal penggantinya masih belum dapat dipastikan.
Pada Ahad (18 Jun), akhbar The Star melaporkan bahawa Acryl Sani dijangka berundur sebelum tamat kontrak dua tahunnya.
Beliau dilantik sebagai KPN ke-13 pada 2021, menggantikan Tan Sri Abdul Hamid Bador.
Beliau sepatutnya bersara mandatori pada tahun itu apabila berusia 60 tahun tetapi Kementerian Dalam Negeri menyambung kontraknya selama dua tahun.
-BTS Media