Oleh Yusoff A. Shariff
BEKAS Ketua Barisan Nasional Selangor Tan Sri Noh Omar mengesahkan beliau tidak akan bertanding pada pilihan raya negeri akan datang.
Noh berkata beliau memutuskan untuk tidak bertanding untuk memberi peluang kepada pemimpin muda.
Bagaimanapun, bekas Ahli Parlimen Tanjung Karang itu berkata beliau akan berkempen untuk Perikatan Nasional (PN) di Selangor.
“Saya akan aktif berkempen untuk meneruskan perjuangan saya,” kata Noh yang digantung daripada UMNO selama enam tahun pada Januari lalu, lapor Sinar Harian.
Beliau yang menghadiri majlis pelancaran jentera pilihan raya PN di Pusat Konvensyen Bangi semalam (Sabtu 17 Jun) menambah bahawa pertandingan tiga penjuru akan merugikan Barisan Nasional (BN) di Selangor.
Beliau juga percaya PN boleh merampas Selangor jika hanya berlaku pertembungan dua penjuru antara PH-BN dan PN pada PRN nanti.
Noh yang berjuang bersama BN lebih 30 tahun turut menyatakan kekecewaan melihat UMNO kini bersama musuh ketatnya, iaitu PH dan DAP dalam kerajaan campuran di Putrajaya.
-BTS Media