Oleh Fetty Rara
PERIKATAN Nasional (PN) telah menyelesaikan 99 peratus perbincangan kerusi bagi enam pilihan raya negeri akan datang.
Negeri yang terbabit ialah Pulau Pinang, Selangor, Negeri Sembilan, Kedah, Kelantan dan Terengganu.
Pengerusi PN Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata gabungan itu akan mengadakan mesyuarat akhir pada 22 Jun untuk memeterai segala-galanya.
Beliau berkata, kalau ditanya sama ada semua berpuas hati, jawapannya semua takkan puas hati.
“Kenapa? Sebab semua nak bertanding kerusi yang boleh menang.
“Ini adalah proses rundingan biasa, tetapi apa yang penting akhirnya ialah kemesraan antara tiga parti (BERSATU), PAS dan Gerakan) sangat baik.
“Tidak kira parti mana yang menang, kita (PN) tetap menang,” katanya pada majlis pelancaran Konvensyen PN Pulau Pinang di George Town.
Beliau berkata, gabungan tersebut perlu berusaha bersungguh-sungguh untuk memastikan kemenangan, lapor NST.
Sambil menegaskan bahawa pilihan raya negeri adalah perjuangan yang sukar, namun Muhyiddin berkata PN mempunyai peluang baik untuk menang besar di Pulau Pinang.
Beliau berkata, ada laporan bahawa PN akan dapat menafikan majoriti dua pertiga kerajaan Pulau Pinang.
“Namun, itu tidak akan menjadi panduan kami. Kita ada sasaran sendiri.
“Sama seperti tinjauan yang dilakukan di Selangor, sokongan orang Melayu terhadap PN adalah luar biasa. Kira-kira 80 peratus menyokong kami di Selangor dan seluruh negara.
“Saya percaya mereka akan terus menyokong kami dalam pilihan raya negeri ini kerana krisis kepimpinan dan ekonomi, serta isu-isu lain yang menyebabkan mereka hilang harapan terhadap kerajaan perpaduan.”
Bagi Pulau Pinang, katanya, jangkaan ialah untuk memenangi 20 daripada 40 kerusi di negeri itu.
“Ini bermakna kami mempunyai satu peratus lagi untuk memastikan kemenangan. Kami melihat ini sebagai satu cabaran.
“Walaupun kemenangan di enam negeri tidak akan memberi apa-apa impak di peringkat persekutuan, namun ia akan memudahkan kita mengawal di peringkat persekutuan apabila tiba masa sesuai.”
-BTS Media