Oleh Yusoff A. Shariff
KUANTAN: DAP nampaknya tidak hairan dengan UMNO sebagai rakan gabungan parti itu dalam kerajaan Perpaduan apabila terus membela pekebun haram durian Musang King di Raub supaya diberikan geran tanah dan kebenaran mengusahakan kawasan berkenaan.
Menurut ketua Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Bahagian Maran, Datuk Jasri Jamaludin, terbaharu di Dewan Rakyat Ahli Parlimen Raub, Chow Yu Hui telah mendesak penceroboh tanah haram itu diberikan geran tanah walaupun mahkamah sudah memutuskan bahawa tanah itu diterokai mereka tanpa kebenaran pihak berkuasa.
“Sebelum ini mereka mendesak untuk berjumpa Menteri Besar (Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail) bagi mencari jalan menghalalkan pencerobohan mereka tanpa menghiraukan keputusan mahkamah.
“Ini jelas menunjukkan DAP terus kekal dengan prinsip, ideologi mereka dan konsisten menuntut apa yang mereka perjuangkan. Ini menjadi lebih mudah kepada mereka kerana mereka sudah bersama UMNO membentuk kerajaan negeri,” dakwanya dalam satu kenyataan.
Yu Hui, ketika sesi perbahasan Laporan Tahunan Suruhanjaya Hak Asasi Manusia Malaysia (Suhakam) di Dewan Rakyat dilaporkan berkata, pekebun durian ‘Musang King’ adalah mangsa kepada sistem negara dan sumbangan mereka tidak pernah diiktiraf, sepatutnya geran tanah diberikan kepada mereka oleh kerajaan negeri Pahang.
Jasri yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kuala Sentul mendakwa perkara tersebut tidak menghairankan kerana DAP tidak pernah berubah dalam perjuangannya walaupun sudah bersama-sama UMNO membentuk kerajaan.
“Yang berubah UMNO. Perjuangan yang diwarisi sejak dari datuk nenek kita dulu dibuang begitu sahaja. Tiada lagi laungan dan suara-suara mempertahankan perjuangan alif ba ta. Ini mungkin kerana hendak menjaga hati rakan dalam kerajaan.
“Tetapi DAP sikit pun tidak hairan kepada rakannya UMNO dan terus menuntut supaya apa yang diminta diberi dengan apa cara sekalipun.
“Bukan itu sahaja, kelmarin Kementerian Pelancongan bersetuju mempertimbangkan makanan bak kut teh dijadikan makanan warisan negara. Walhal terang-terang makanan ini bukan makanan asal negara dan tidak dimakan oleh majoriti kaum di Malaysia.”
Beliau mendakwa, minggu lalu pada Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2023, pemimpin UMNO menyarankan kepada rakan mereka dalam kerajaan Perpaduan supaya jangan membuat kenyataan kontroversi dan menyinggung perasan orang Melayu, tetapi teguran itu tidak sikit pun tidak diendahkan.
“DAP tahu UMNO kini bukanlah parti yang kuat setelah kalah dalam Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu. Jadi mereka tidak peduli. DAP tidak pernah berubah agenda perjuangan mereka tetapi sebaliknya UMNO yang diubah.
“Betullah kata pepatah Melayu, kera dihutan disusukan anak di rumah mati kelaparan. Kalau kita masih tidak sedar akhirnya saya percaya kita akan menjadi Pak Kaduk, ayamnya menang kampung tergadai,” katanya.
-BTS Media