KUALA LUMPUR: Tiga ahli Barisan Nasional (BN) memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk mencabar keputusan Menteri Dalam Negeri Saifuddin Nasution Ismail yang membenarkan dua jawatan tertinggi dalam UMNO tidak dipertandingkan pada pemilihan parti baru-baru ini.
Mereka ialah Satarriah Abdul Karim dan Zaidi Abdul Majid yang masing-masing ahli UMNO cawangan Kampung Bukit C2 Lembah Pantai, manakala P Vellasamy ahli MIC cawangan Lembah Pantai.
Mereka berkata, Saifuddin pada Mac lalu mengesahkan memberikan pengecualian untuk tiada pemilihan bagi jawatan presiden dan timbalan presiden parti.
Dalam Perhimpunan Agung UMNO (PAU) 2022, parti itu telah meluluskan usul supaya jawatan presiden dan timbalan presiden tidak dipertandingkan.
Satarriah, Zaidi dan Vellasamy mendakwa keputusan Saifuddin itu bercanggah dengan Perkara 8(1) Perlembagaan Persekutuan mengenai kesaksamaan, dan menafikan peluang ahli lain untuk mencabar penyandang jawatan presiden dan timbalan presiden.
“Pemohon dinafikan hak mereka untuk didengari oleh menteri sebelum membuat keputusan.
“Sehingga hari ini tiada penjelasan munasabah daripada menteri mengenai keputusannya,” kata mereka dalam permohonan itu.
Mereka meminta Jabatan Pendaftaran Pertubuhan Malaysia (JPPM) menyiasat kemungkinan berlaku pelanggaran Perlembagaan UMNO berhubung usul tidak bertanding untuk dua jawatan teratas.
“Keputusan menteri itu tidak munasabah dan ia bercanggah dengan Perlembagaan UMNO,” tambah mereka.
Ketiga-tiga mereka mahu mahkamah membatalkan keputusan Saifuddin yang mengecualikan jawatan itu daripada dipertandingkan.
Selain Saifuddin, mereka juga menamakan UMNO dan JPPM dalam cabaran undang-undang tersebut.
Hakim Amarjeet Singh akan mendengar permohonan kebenaran untuk mereka memulakan semakan kehakiman terhadap keputusan itu Khamis ini.