Oleh Yusoff A. Shariff
PERDANA Menteri Anwar Ibrahim telah mengarahkan projek kecil seperti pengubahsuaian sekolah dan klinik usang di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) dipindahkan ke jabatan lain atau pejabat daerah.
Perdana Menteri berkata, beliau akan mengadakan pertemuan dengan semua pegawai daerah minggu depan supaya mereka dapat menjalankan tugas pelaksanaan tersebut.
“Saya telah berbincang dengan Datuk Seri Alexander Nanta Linggi (Menteri Kerja Raya) bahawa projek kerja raya seperti sekolah dan klinik usang, pembaikan tandas, tidak lagi perlu dibebankan kepada JKR.
“Alihkan tugas itu kepada jabatan lain atau pejabat daerah dan Insya-Allah minggu depan saya akan berjumpa dengan semua pegawai daerah untuk meminta mereka menjalankan tugas pelaksanaan,” katanya, lapor NST.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada mesyuarat bulanan Perdana Menteri bersama anggota Jabatan Perdana Menteri di Putrajaya hari ini.
Anwar berkata JKR tidak lagi terbeban kerana jabatan itu mempunyai tanggungjawab yang besar terutama melibatkan projek seperti lebuh raya dan tebatan banjir.
“Projek besar seperti lebuh raya dan tebatan banjir adalah penting, tetapi projek melibatkan sekolah, tandas, longkang, pagar masjid yang rosak juga penting termasuk penyaluran bantuan, dan sebab itu saya telah memberi arahan untuk menyegerakannya,” katanya.
Dalam pada itu, Perdana Menteri mahu semua projek rakyat dilaksanakan segera. Beliau berkata perkara itu telah disampaikan kepada Kabinet, selain perbincangannya di Kementerian Kewangan dan dengan Ketua Setiausaha Negara.
-BTS Media