BTS Media

Permohonan Muhyiddin untuk batal pertuduhan salah guna kuasa didengar 11 Julai

PERMOHONAN Presiden Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk membatalkan empat tuduhan salah guna kuasa berhubung suapan berjumlah RM232.5 juta bagi parti itu akan didengar pada 11 Julai.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin menetapkan tarikh itu ketika sebutan kes yang dihadiri pasukan pembelaan Muhyiddin, peguam, Hisyam Teh Poh Teik, K Kumaraendran dan Amer Hamzah Arshad.

Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin dan Ahmad Akram Grarib mengendalikan kes bagi pihak pendakwaan.

Muhyiddin dikecualikan daripada menghadiri prosiding kerana ia hanya membabitkan peringkat pengurusan kes.

Semasa prosiding, Hisyam berkata, pihaknya akan mengemukakan hujahan yang panjang kerana ia membabitkan isu baharu.

“Kami mohon tiga hari untuk prosiding pendengaran kerana ia membabitkan isu lain termasuk empat pertuduhan yang dikenakan adalah cacat, jadi kami akan mengemukakan banyak hujahan,” katanya.

Muhammad Jamil, bagaimana pun, menetapkan 11 Julai untuk mendengar permohonan kerana sehati sahaja sudah cukup bagi prosiding tersebut.

Notis usul difailkan oleh Muhyiddin untuk membatalkan tuduhan tersebut pada 18 April lalu dengan menamakan pendakwa raya sebagai responden.

Muhyiddin turut memohon dilepas dan dibebaskan daripada keempat-empat pertuduhan yang dikenakan terhadapnya pada 10 Mac.  Beliau juga berhasrat agar prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan, lapor Sinar Harian.

Melalui afidavit sokongan yang difailkan bersama notis usul itu, Muhyiddin mendakwa empat tuduhan adalah cacat dan tidak sah di sisi undang-undang kerana bercanggah Seksyen 152 Kanun Acara Jenayah.

Ini kerana tiada mana-mana satu pun tuduhan mendedahkan kesalahan di bawah Seksyen 23(1) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM).

Sementara itu, permohonan Muhyiddin untuk memindahkan empat kes menggunakan kedudukan untuk suapan dan tiga menerima wang hasil daripada aktiviti haram dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi di sini, akan didengar di hadapan Hakim K Muniandy pada 10 Julai.

Muhyiddin, pada 10 Mac lalu, mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur, atas empat pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk suapan berjumlah RM232.5 juta dan dua pengubahan wang haram sebanyak RM195 juta, antara tahun 2020 hingga 2022 lalu.

-BTS Media

Leave a Comment