BTS Media

TI-M: Kenapa isu projek kapal LCS tiba-tiba senyap?

GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.

 

Oleh Zainal AS Rashid

TRANSPARENCY International Malaysia (TI-M) mempersoalkan mengapa skandal Littoral Combat Ships (LCS) secara tiba-tiba senyap walaupun kerajaan pernah memberi jaminan akan menyelesaikan isu yang dibangkitkan sebelum ini.

Badan pemantau antirasuah itu berkata sekarang tidak lagi kedengaran apa-apa tindakan untuk menangani pelbagai isu yang dibangkitkan dan seterusnya membawa mereka yang bertanggungjawab ke muka pengadilan selepas dua eksekutif kanan yang terlibat dalam projek itu ditahan pada Januari tahun ini.

Presiden TI-M Dr Muhammad Mohan berkata kerajaan perlu menjelaskan apa yang berlaku dengan projek tersebut dan menyahklasifikasi Laporan Penyiasatan Perolehan dan Kewangan yang dibuat di bawah Ketua Audit Negara Tan Sri Ambrin Buang ketika itu, lapor NST.

Beliau berkata, kerajaan tidak seharusnya berselindung di sebalik Akta Rahsia Rasmi (OSA) atau beralih kepada alasan “keselamatan negara” sekiranya rasuah dan salah guna kuasa dikesan.

“Perdana Menteri berkali-kali menyatakan komitmen tegas beliau untuk memerangi rasuah dan menambah baik tadbir urus serta integriti dalam sektor awam.

Dalam satu kenyataan, beliau  berkata ini juga mesti terpakai kepada projek LCS, dan adalah penting dipertanggungjawabkan pihak berkenaan ke atas projek bermasalah itu.

Mohan berkata ada isu tadbir urus dan ketelusan berkaitan projek LCS bermasalah itu belum terjawab, termasuk rasional pemberiannya kepada Limbungan Laut Boustead (BNS) pada 2011 melalui rundingan terus.

Beliau berkata tindakan sepatutnya diambil apabila BNS pada peringkat awal menunjukkan ketidakmampuan untuk menyiapkan LCS mengikut bajet.

Mohan turut mempersoalkan pihak yang bertanggungjawab meluluskan pindaan kepada spesifikasi reka bentuk daripada LCS pilihan Tentera Laut Diraja Malaysia.

Beliau berkata ini adalah antara beberapa soalan yang pernah dibangkitkan oleh TI-M pada Ogos 2022.

Beliau berkata TI-M memahami rasional di sebalik keputusan kerajaan menubuhkan Kenderaan Tujuan Khas (SPV) untuk mengambil alih BNS, memandangkan RM6 bilion wang pembayar cukai telah pun dibayar untuk pembinaan kapal berkenaan setakat ini.

Bagaimanapun, beliau berkata semakan status projek akan menunjukkan selepas 4 tahun, tiada satu kapal pun disiapkan, manakala kos projek telah meningkat daripada RM9 bilion kepada RM11.2 bilion

“Walaupun begitu, TLDM kini hanya akan mendapat lima LCS berbanding 6,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment