GAMBAR ATAS: Wikimedia Commons.
PIHAK pengusaha hotel menyambut baik langkah kerajaan Pulau Pinang menyekat penginapan sewa jangka pendek (STR) di pulau itu.
Presiden Persatuan Hotel Bajet dan Perniagaan Malaysia (MyBha) Ganesh Michiel menyifatkan langkah tersebut sebagai “berani” dan langkah permulaan yang baik ke arah meningkatkan industri pelancongan, lapor FMT.
Beliau berkata industri perhotelan dan pelancongan telah terkesan oleh STR persendirian sejak beberapa tahun lalu.
“Kami menyokong penuh inisiatif kerajaan Pulau Pinang atas langkah ini, dan mengucapkan tahniah atas keberanian melakukan ini walaupun sebelum kerajaan persekutuan (bertindak),” kata Ganesh.
Beliau berkata ini akan menurunkan kadar sewa jangka panjang setelah semakin banyak hartanah persendirian dikosongkan dan membuka pasaran kepada orang ramai yang ingin tinggal di pulau itu.
Menurutnya, pihak yang mencari hartanah sewa telah diketepikan daripada pasaran kerana pemilik hartanah lebih mengutamakan STR disewakan kepada pelancong atau “nomad digital”.
Khamis lepas, Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) mengumumkan larangan ke atas semua bentuk STR, termasuk yang terdapat di Airbnb dan Booking.com untuk unit kediaman di pulau itu berkuat kuasa serta-merta.
FMT memetik Pengurus Besar G Hotel Michael Hanratty berkata langkah besar seterusnya ialah bagi kerajaan negeri menyelaraskan kadar cukai yang dikenakan.
Beliau berkata pada masa ini, semua hotel perlu mengenakan caj cukai kerajaan tempatan sebanyak RM3, yang ditambah lagi RM10 cukai pelancongan ke atas warga asing, tetapi premis STR kekal dikecualikan daripada levi tersebut.
“Cukai ini juga mesti terpakai ke atas penginapan STR. Dengan cara itu baru adil,” kata pengusaha hotel yang hartanya terletak di Gurney Drive.
Hanratty berkata impak peraturan baharu itu akan ketara dirasai semasa musim perayaan, kerana lebih ramai pengunjung akan memilih untuk menginap di hotel.
“Sebagai contoh, cuti Tahun Baharu Cina yang merupakan musim menguntungkan untuk kami pada satu ketika menyaksikan kemerosotan mendadak dengan kemunculan Airbnb. Keadaan itu tidak akan berlaku lagi,” katanya.
Presiden Persatuan Hotel Malaysia (MAH) Christina Toh memberitahu FMT bahawa mereka mengalu-alukan pengumuman itu, tetapi menaruh kebimbangan sejauh mana ia akan dikuatkuasakan.
Beliau berkata, memandangkan platform seperti Airbnb dan Booking.com merupakan syarikat antarabangsa, tidak pasti bagaimana peraturan itu akan memberi kesan.
Oleh itu, Toh berkata isu ini perlu dibincangkan lagi bagi menjelaskan keadaan, terutamanya jika dilakukan audit ke atas tuan rumah.
Pengerusi MAH Pulau Pinang Tony Goh berkata pengusaha hotel mengalu-alukan langkah itu tetapi ia perlu diteliti kemudian.
“Adalah penting untuk menjaga standard dan kualiti bagi memastikan kepuasan,” katanya.
-BTS Media