BTS Media

Halim Saad nafi disoal SPRM berhubung urus niaga saham Renong RM2.3 bilion

 

Oleh Zainal AS Rashid

JUTAWAN Tan Sri Halim Saad telah menafikan laporan media bahawa beliau disoal siasat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung dakwaan penyelewengan RM2.3 bilion.

Ini dikatakan berhubung pengambilalihan saham syarikat tersenarai oleh sebuah konglomerat Malaysia 26 tahun lalu.

“SPRM tidak memanggil saya untuk disoal siasat mengenai isu itu seperti yang dispekulasi dalam media,” kata Halim dalam temu bual eksklusif dengan FMT Business.

Jumaat lalu, beberapa portal berita melaporkan bahawa SPRM sedang menyiasat seorang bekas menteri kanan dan ahli perniagaan bergelar “Tan Sri” berhubung dakwaan penyelewengan dana negara bernilai lebih RM2.3 bilion.

Dalam respons baru-baru ini, Halim yang kini bergiat  dalam industri minyak dan gas di luar negara, mengecam keras laporan The Edge yang mengaitkannya dengan dakwaan penyelewengan dana negara.

Laporan The Edge itu secara khusus menyebut transaksi yang melibatkan pembelian 32.6 peratus kepentingan atau 722.9 juta saham dalam Renong Bhd oleh United Engineers (M) Bhd (UEM) pada harga RM2.3 bilion pada November 1997, semasa krisis kewangan Asia.

Penerbitan itu juga menerbitkan semula tiga artikelnya dari November 1997 untuk “menyegarkan ingatan pembaca serta menyedarkan mereka tentang transaksi ini”.

Halim menafikan sekeras-kerasnya sebarang penglibatan dalam dakwaan penyelewengan itu dan mengkritik The Edge kerana menyebarkan spekulasi tidak berasas dan menimbulkan keraguan terhadap peranannya dalam pembelian saham Renong oleh UEM.

Beliau berkata artikel itu telah mencipta spekulasi tidak wajar dan mencemarkan nama baiknya.

“Saya mencabar mereka untuk memberikan bukti kesalahan saya dalam urus niaga terbabit,” katanya.

-BTS Media

Leave a Comment