KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan memulakan semula sesi persekolahan pada Januari bermula 2026.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek, berkata untuk itu kerajaan sudah memulakan usaha mengawal kalendar akademik persekolahan bagi sesi 2024/2025 pada Februari 2025.
“Jadi permintaan untuk memulakan sesi persekolahan pada Januari akan ditunaikan pada 2026,” katanya di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan lisan Aminolhuda Hassan (PH-Seri Gading) mengenai bila persekolahan akan kembali bermula pada Januari.
Sebelum ini, KPM dilaporkan memberi jaminan permulaan takwim sesi persekolahan akan kembali bermula pada Januari, namun memerlukan tempoh tertentu untuk dilaksanakan.
Dalam pada itu, Fadhlina berkata, seiring pengumuman itu, beliau berharap semua pihak yang berkaitan dapat melakukan perancangan dan persediaan menyeluruh bagi mendepani perubahan berkenaan.
“KPM berharap dengan pengumuman ini, aspek kewangan dan ekonomi dapat dirancang mulai sekarang oleh semua pihak yang terlibat.
“Secara tidak langsung, perancangan cuti keluarga, kenduri kendara, cuti-cuti cikgu sebagaimana yang telah pun kami umumkan dalam 10 prakarsa sempena hari guru dapat diatur berdasarkan kalendar akademik persekolahan yang akan diwartakan,” katanya yang turut melihat pengumuman berkenaan selari dengan hasrat KPM untuk memastikan kesejahteraan semua pihak dengan keutamaan kepada merealisasikan hasrat Murid Ceria, Guru Bahagia, Sekolah Bitara dan Negara Sejahtera.
Fadhlina berkata, KPM meneliti banyak faktor berkaitan bagi melaksanakan perubahan membabitkan kalendar akademik persekolahan.
“Perubahan semula kalendar akademik persekolahan perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM).
“KPM turut melihat kepada keperluan dan kesesuaian penyediaan kalendar akademik untuk tahun seterusnya bagi memastikan pengajaran dan pembelajaran dapat dilaksanakan secara optimum khususnya tempoh pembelajaran sebanyak 32 hingga 36 minggu yang diperlukan bagi menyelesaikan keseluruhan kurikulum persekolahan setahun,” katanya.
Bagi tujuan itu, katanya, KPM turut melakukan penjajaran kepada jadual peperiksaan awam agar ia selari dengan perubahan kalendar akademik persekolahan.