Pengusaha kantin sekolah adalah antara individu paling gembira susulan kelonggaran pengoperasian sekolah yang diumumkan Kementerian Pendidikan bermula 1 Mei lalu.
Naib Presiden BERSATU yang juga Menteri Kanan Pendidikan, Senator Datuk Dr. Radzi Jidin berpeluang melawat kantin sekolah di Sekolah Kebangsaan Putrajaya Presint 9 (1) di Putrajaya, bagi melihat sendiri operasi kantin berkenaan.
Radzi berkata, secara umumnya, operasi kantin sekolah di seluruh negara berjalan dengan lancar.
“Pastinya keadaan ini bukan sahaja memberi kegembiraan kepada murid dan guru, malah tentunya turut membawa manfaat kepada semua pengusaha kantin.
“Kelegaan buat mereka (pengusaha kantin) kerana dapat kembali beroperasi setelah sekian lama tidak dibuka sepenuhnya. Sama-samalah kita doakan agar keadaan ini berterusan demi kesejahteraan warga sekolah,” katanya menerusi hantaran di Facebook, pada Khamis.
Menurut Radzi, beliau akui seronok melihat gelagat murid sekolah yang dapat makan di kantin sekolah semula seperti mana sebelum datangnya pandemik Covid-19.
“Dah lama tak tengok anak-anak kita berada di kantin sekolah masing-masing menikmati makanan pada waktu rehat. Biasanya kalau sembang dengan anak-anak sewaktu mereka dalam kelas, ramai yang segan-segan. Tapi bila sembang di kantin, mereka lebih santai,” katanya.
Pembukaan semula kantin sekolah adalah antara kelonggaran-kelonggaran yang diumumkan KPM menerusi sidang akhbar khas pada 28 April lalu.
Mulai 1 Mei lalu, Kementerian Pendidikan membenarkan murid, guru dan seluruh warga sekolah kembali makan di kantin atau kafeteria sekolah.
Namun, sekolah yang mempunyai ruangan makan terhad dan murid ramai, dibenarkan untuk menyusun waktu rehat secara berperingkat bagi mengelak kesesakan.