BTS Media

KPM teliti kembali sesi persekolahan Januari – Fadhlina

GAMBAR ATAS: HasriM, CC BY-SA 4.0 <https://creativecommons.org/licenses/by-sa/4.0>, via Wikimedia Commons

KEMENTERIAN Pendidikan (KPM) akan meneliti cadangan mengembalikan kalendar akademik persekolahan bermula Januari daripada Mac sekarang.

Bagaimana pun, Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek, berkata ia tidak boleh dilaksanakan tahun hadapan kerana perlu menyelesaikan pelbagai justifikasi berdasarkan pematuhan kepada Akta Pendidikan 1996 (Akta 550).

“Perubahan semula kalendar akademik persekolahan juga perlu mengambil kira faktor ekonomi setempat dan banjir pada hujung tahun, selain tidak mengganggu jadual peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia (STPM) dan Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM),” katanya dalam jawapan bertulis di Dewan Rakyat hari ini.

Menurut Fadhlina, sesi persekolahan bagi Kalendar Akademik Sesi 2023/2024 masih dikekalkan pada Mac untuk memastikan KPM mematuhi Peraturan-Peraturan Pendidikan (Penggal, Hari dan Cuti Sekolah) 1998 (Pindaan) 2021.

Beliau berkata, peraturan ini menetapkan jumlah hari persekolahan dalam kalendar akademik tidak kurang 190 hari.

Pada 2021, KPM mengumumkan sesi persekolahan untuk tahun itu dilanjutkan sehingga Februari 2022, dengan sesi persekolahan baharu bermula pada bulan Mac.

Sebelum itu, kali terakhir sesi persekolahan baharu diubah secara drastik pada 1991 apabila ia diawalkan daripada Januari ke Disember bagi mengelak tarikh peperiksaan SPM dan STPM bertembung banjir besar yang biasa melanda Pantai Timur pada November dan Disember.

Perubahan itu dilakukan selepas peperiksaan SPM dan STPM 1988 terpaksa ditangguhkan beberapa minggu berikutan banjir besar yang melanda Kelantan.

Bagaimanapun, pada 1996, permulaan sesi persekolahan baharu dikembalikan kepada asal iaitu bermula Januari selepas mendapat bantahan pelbagai pihak kerana permulaan sesi persekolahan pada Disember dikatakan mengganggu perancangan keluarga untuk bercuti.

Pada 2015, Kementerian Pendidikan juga menangguhkan permulaan sesi persekolahan di seluruh negara selama seminggu berikutan banjir yang melanda negara ketika itu.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/03/1080149/kpm-teliti-kembali-mulakan-sesi-persekolahan-januari-fadhlina

 

Leave a Comment