BTS Media

Kepimpinan UMNO sekarang heret parti itu ke penghujung hayat – Muhyiddin

Oleh Yusoff A. Shariff

PENGERUSI Perikatan Nasional (PN) Muhyiddin Yassin menyifatkan tindakan Ahli Majlis Tertinggi UMNO Ahmad Maslan meminta ahli parti menyokong DAP pada pilihan raya negeri akan datang sebagai “luar biasa”.

Bagaimana pun, Ahli Parlimen Pagoh itu berkata bertentangan dengan prinsip UMNO, terpulang kepada ahli parti itu sama ada akur kepada permintaan itu atau sebaliknya, lapor Malaysiakini.

“Agak luar biasa. Saya pernah berada dalam UMNO hampir 40 tahun dan ini kali pertama saya mendengar salah seorang pemimpinnya meminta ahli menyokong DAP.

“Kami (PN) membuat kajian dan mendapati pada pilihan raya lalu, pemindahan sokongan daripada UMNO kepada DAP tidak berlaku.

“Apa yang berlaku ialah mereka (pengundi) menyokong PN kerana perjuangan UMNO tidak seperti dahulu,” kata Muhyiddin kepada media pada majlis rumah terbuka sempena Aidilfitri Pagoh di Johor semalam.

Sebelum ini Ahmad Maslan menggesa ahli UMNO supaya menyokong calon DAP di kawasan masing-masing bagi mengekalkan penguasaan kerajaan PH-BN.

Sementara itu, ketika ditanya sama ada Ahmad Maslan bertindak kerana terdesak, Muhyiddin berkata apa-apa tindakan oleh pemimpin UMNO sekarang, terutama oleh presidennya, Ahmad Zahid Hamidi telah mengheret parti itu ke penghujung hayatnya.

Beliau menyifatkan apa yang mereka lakukan sebagai bercanggah dengan perjuangan dan prinsip UMNO.

Muhyiddin berkata beliau tahu kerana pernah menjadi timbalan presiden UMNO, dan apa yang berlaku sekarang telah jelas sangat menyimpang daripada perjuangan asal.

“Pilihan raya negeri akan datang akan membuktikan bahawa majoriti orang Melayu tidak lagi menyokong UMNO,” tambah presiden Bersatu itu.

-BTS Media

Leave a Comment