BTS Media

PAS nafi dakwaan Tok Mat parti itu mahu ‘bunuh UMNO’

Oleh Yusoff A. Shariff

PAS hari ini menolak dakwaan timbalan presiden UMNO Mohamad Hasan bahawa parti itu “mahu membunuh” UMNO dalam politik.

Setiausaha Agung PAS, Takiyuddin Hassan berkata UMNO yang sebaliknya pernah bertekad untuk menyingkirkan PAS, termasuk cuba mengharamkan parti itu.

“Sebagai parti yang memartabatkan Islam sebagai prinsipnya, PAS sentiasa berazam dan mendekati UMNO dalam usaha menyatukan umat Islam dan Melayu yang merupakan kumpulan majoriti di negara ini,” katanya dalam satu kenyataan pada Jumaat.

Beliau berkata usaha menyatupadukan ummah telah dimulakan merentasi rakyat berbilang kaum dan agama bagi mewujudkan suasana aman dan harmoni melalui saluran demokrasi berlandaskan kedaulatan undang-undang.

“Justeru, sebagai parti arus perdana, PAS akan meneruskan ‘konsep terbukanya’ dan sanggup mengadakan pertemuan, perbincangan dan rundingan dengan mana-mana pihak dengan memfokuskan kepada titik persamaan dan merapatkan perbezaan demi kepentingan rakyat, serta untuk negara,” kata ahli parlimen Kota Baru itu.

Takiyuddin berkata PAS yakin hanya dengan perpaduan semua parti politik yang dibentuk atas dasar keikhlasan dan niat murni, akan menjamin pembentukan kerajaan adil dan saksama kepada rakyat berbilang kaum, agama dan budaya.

Dalam pada itu, beliau berkata PAS akan sentiasa menjunjung amalan serta pendekatan matang dan sejahtera dalam politik tanah air.

“PAS berdoa agar sikap melulu, provokasi dan tidak berasas atas apa jua alasan dan tujuan tidak akan menjejaskan dan merosakkan kesejahteraan dan hubungan baik yang sedia ada dalam masyarakat kita,” tambahnya.

-BTS Media

Leave a Comment