GAMBAR ATAS: NSTP.
TIADA siapa mampu menidakkan kehebatan maestro muzik bertaraf legenda, S Atan dalam menghasilkan bingkisan yang menjadi khazanah industri muzik tanah air.
Bukan sahaja handal dalam menggubah lagu popular bercorak Melayu deli, S Atan atau nama sebenar, Hashim Said, 74, boleh diibarat ‘raja’ dalam mencipta lagu berkonsepkan lebaran.
Lebih empat dekad menumpahkan bakat seni ciptaan lagu, banyak lagu raya sentuhannya dinyanyikan artis ternama dan menjadi malar segar.
Antaranya, lagu Balik Kampung dan Dari Jauh Ku Pohon Maaf nyanyian Allahyarham Sudirman Arshad; Menjelang Hari Raya (Datuk DJ Dave); Indah Beraya Di Desa (Azlina Aziz); Cahaya Aidilfitri (Black Dog Bone); Salam Aidilfitri (Jamal Abdillah); Joget Hari Raya (Zaleha Hamid & Herman Tino) serta Hari Mulia (Datuk Sheila Majid).
Bagaimanapun, di sebalik pencapaian itu, ramai tidak tahu terselitnya rasa terkilan dalam hati komposer ini berhubung bayaran royalti yang diterima bagi karya yang dihasilkannya.
S Atan mendakwa sejak empat tahun lalu, badan pengutip royalti gagal menjelaskan bayaran mengikut jumlah yang lazim diterimanya.
“Biasanya, jumlah royalti paling tinggi saya terima adalah RM80,000 setahun untuk semua lagu ciptaan saya termasuk lagu bertemakan hari raya.
“Bagaimanapun, selepas 2018, jumlahnya semakin merosot. Tidak sampai RM30,000 setahun. Malah, untuk lagu hari raya sahaja, jumlah bayaran diterima dianggarkan RM10,000.
“Sebagai individu tidak berpencen dan bergantung sepenuhnya kepada royalti sebagai punca pendapatan, keadaan ini sangat mengecewakan,” katanya kepada BH Online.
S Atan hairan dengan alasan yang diberi Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) mengenai kurangnya royalti diterima setiap tahun.
“Saya ada bertanya perkara ini kepada kepada pengurusan MACP. Alasan yang diberi adalah kutipan tidak dapat dibuat berikutan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) akibat penularan virus COVID-19, sejak beberapa tahun lalu.
“MACP beritahu perkara sama berlaku kepada komposer lain. Saya fikir pelik kerana biarpun PKP, lagu hari raya ciptaan saya diputarkan di corong radio dan televisyen (TV) dengan kerap. Kebanyakan lagu terbabit hit dan memang menjadi pilihan ramai.
“Kalau itulah alasan mereka, saya pun tidak boleh hendak kata apa. Disebabkan tiada lagi PKP dikuatkuasakan, saya harap tugas membuat kutipan dapat dipertingkatkan dan dilakukan secara menyeluruh agar tidak ada yang culas membayarnya.
“Tetapi kalau ada penyelewengan yang berlaku, saya tidak halalkan pihak yang ambil hak saya itu,” luah komposer kelahiran Singapura ini.
Sementara itu, S Atan bersyukur masih diberi kepercayaan syarikat rakaman dan penyanyi untuk menghasilkan lagu berkonsepkan raya.
“Apabila hendak buat lagu raya, barulah mereka cari saya (ketawa). Tetapi, saya terima hakikat itu dan saya sedar diri ini sudah tua.
“Tidak mengapa, saya anggap itu sebagai suatu penghormatan daripada mereka yang masih menghargai bakat dan sentuhan saya menghasilkan lagu raya.
“Baru-baru ini, saya cipta lagu raya untuk dinyanyikan Datuk Jamal Abdillah. Lagu berjudul Rindu Di Hari Lebaran itu dicipta atas permintaan beliau sendiri.
“Disebabkan tempoh promosi agak singkat, lagu ini belum dapat tawan hati peminat. Saya harap tahun depan, lagu ini boleh hit dan jadi malar segar,” katanya.
Tahun lalu, S Atan tampil pada Konsert Cahaya Aidilfitri – A tribute to S Atan bersama Orkestra Filharmonik Malaysia (MPO) di pentas ikonik, Dewan Filharmonik Petronas (DFP) di ibu negara.