BTS Media

Bukit Aman takkan lagi bagi amaran kepada ketua polis daerah gagal tangani perjudian di daerah masing-masing

KUALA LUMPUR – Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman tidak akan lagi memberikan amaran terhadap Ketua Polis Daerah yang didapati gagal menangani aktiviti perjudian dalam di daerah masing-masing.

Merujuk kepada Aku Janji yang ditandatangani, Pengarah JSJ Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, semua ketua polis daerah perlu memastikan tiada aktiviti perjudian haram di daerah masing-masing.

“Janganlah aku janji itu dianggap sebagai satu kertas tisu yang tiada nilai, maka tiada lagi amaran akan dikeluarkan…kita akan ambil tindakan (terhadap mereka yang gagal menangani perjudian dalam talian),” katanya pada sidang media akhbar selepas Majlis Serah Terima Tugas Jawatan Ketua Polis Kuala Lumpur antara Datuk Abu Samah Mohd Noor dan Datuk Mohd Shuhaily Mohd Zain.

Beliau berkata terdapat maklumat bahawa ada dalam kalangan Ketua Polis Daerah di Kuala Lumpur tidak berpuas hati apabila pasukan khas JSJ Bukit Aman untuk mengambil tindakan ke atas premis judi dalam talian.

“Sepatutnya Ketua Polis Daerah berpegang teguh terhadap Aku Janji tersebut. Setiap tindakan dan tingkah laku kita akan disoal dan diperiksa bukan sekadar di dunia malah di akhirat,” tegasnya.

Menurut beliau, kerjasama polis, Tenaga Nasional Berhad (TNB), dan pihak berkuasa tempatan penting dalam usaha mengekang perjudian dalam talian.

“Saya menerima aduan daripada orang ramai bahawa premis perjudian masih beroperasi walaupun sudah diserbu, namun TNB akan mengambil tindakan segera memotong bekalan elektrik ke premis itu setiap kali operasi bersepadu dilaksanakan, katanya.

Ayob Khan berkata, pasukan khas JSJ Bukit Aman telah ditubuhkan bagi menangani kegiatan jenayah terutamanya perjudian dalam talian.

“Pasukan khas akan melaksanakan operasi dan serbuan secara mengejut berdasarkan maklumat yang diterima melalui talian hotline,” katanya lagi.

-BTS Media

Leave a Comment