KUALA KANGSAR: Bas ekspres yang terbabit dalam kemalangan di KM257 Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) sebelum Terowong Menora arah selatan awal pagi tadi, mengundur sejauh 700 meter menuruni kawasan berbukit selepas gagal memotong.
Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob, berkata insiden kemalangan membabitkan tiga kenderaan berat iaitu bas berkenaan bersama dua treler sekitar jam 2.20 pagi, mengakibatkan 14 penumpang serta pemandu bas itu cedera ringan.
Siasatan awal mendapati bas berkenaan yang dalam perjalanan dari Pulau Pinang menuju Kajang, Selangor dalam cubaan memotong laluan treler dipandu seorang lelaki berusia 48 tahun di lorong tengah ketika sedang mendaki.
Omar berkata, selepas memotong treler berkenaan, terdapat sebuah lagi treler dipandu seorang lelaki berusia 31 tahun di lorong tengah di hadapan laluan bas itu.
Keadaan itu menyebabkan bas berkenaan gagal mengelak serta membrek, menyebabkan ia merempuh bahagian belakang treler terbabit.
“Selepas pelanggaran itu, bas hilang kawalan dan gagal berhenti lalu mengundur ke belakang secara menurun bukit menuju ke arah treler yang dipandu oleh lelaki berusia 48 tahun berkenaan yang ketika itu sudah menukar laluannya dari lorong kiri ke lorong tengah.
“Bas itu kemudiannya terus hilang kawalan dalam keadaan mengundur sejauh kira-kira 700 meter ke belakang dan melanggar pembahagi jalan lalu terhenti di lorong kanan,” katanya dalam kenyataan.
Semua mangsa yang cedera ringan berusia antara 17 hingga 41 tahun dibawa ke Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh untuk rawatan manakala 12 yang tidak cedera sudah meneruskan perjalanan ke ibu kota menaiki bas gantian.
Omar berkata, punca kemalangan adalah kerana pemandu bas cuai mengawal kenderaan sehingga melanggar belakang treler namun tiada tangkapan bagi kes ini termasuk berikutan pemeriksaan air kencing terhadap pemandu bas mendapati keputusannya negatif.