BTS Media

Wanita Kadazan berpakaian tradisional di Gunung Kinabalu sempena Hari Kaamatan

GAMBAR: : Fcebook Sheryll Josh.

 

Oleh Fetty Rara

SHERYLL Josh amat bangga dengan budaya dan warisan masyarakat Dusun Kimaragangnya, dan anak Sabah ini ingin mempamerkan identitinya kepada dunia, walaupun ketika berada di puncak tertinggi Asia Tenggara.

Bulan lalu, Sheryll berjaya mendaki Gunung Kinabalu (4,095m) dan memuat naik foto dia berpakaian tradisional Dusun Kimaragang di Instagram pada 1 Mei.

“Budaya dan warisan kami memberikan rasa identiti dan kekitaan. Asal-usul kami membantu memahami dari mana kami berasal dan bagaimana kami menyesuaikan diri di dunia.

“Peka tradisi, adat resam dan nilai menghubungkan kami dengan nenek moyang dan komuniti,” kata Sheryll semasa di temu bual oleh The Star melalui telefon dari Kota Marudu, Kudat baru-baru ini.

Pendakian itu juga merupakan cara Sheryll menyambut Hari Kaamatan, atau Pesta Menuai, pada 30 dan 31 Mei.

“Sebelum ini, saya pernah melihat gambar pendaki lain di puncak Gunung Kinabalu dengan pakaian tradisional. Ini memberi inspirasi kepada saya untuk melakukannya kerana saya berbangga dengan budaya dan warisan komuniti kami.

Menurut Sheryll, memakai pakaian yang dijahit oleh ibunya itu di Low’s Peak adalah kenangan yang tidak dapat dilupakan.

 

“Saya menyiarkan gambar-gambar itu pada bulan Mei sebagai meraikan detik ketibaan Hari Kaamatan.”

Dusun Kimaragang ialah sebahagian daripada rumpun suku KadazanDusun, yang merupakan antara suku tertua di utara Borneo.

Sheryll mendaki dengan pakaian sukan sebelum menukar ke pakaian tradisional di puncak Low’s Peak.

“Suhu di puncak amat sejuk hingga saya menggigil ketika berpakaian tradisional tanpa lengan.

“Syukurlah, pakaian itu dibuat daripada baldu dan ada pula ‘hoodie’ untuk menutup kepala. Namun demikian, kaki saya masih terdedah, dan rasa seperti berdiri di atas ketulan ais. Nasib baik saya tidak mengalami ‘frostbite’ (radang dingin),” kata Sheryll, yang bekerja di sebuah firma pembinaan.

Bagi masyarakat KadazanDusun, Hari Kaamatan adalah bagi meraikan musim menuai padi dan menandakan tamatnya kitaran musim menanam. Ia adalah masa untuk menzahirkan kesyukuran kepada “semangat padi”, atau “Bambaazon”, untuk hasil tuaian yang melimpah ruah dan mencari berkat pada tahun akan datang.

Sheryll, yang menghidap penyakit lelah, berlatih selama dua bulan sebelum melakukan  pendakian itu, yang merupakan pengalaman kali ketiga dengan bersama seorang  malim gunung dan empat rakannya.

“Saya membawa bersama alat ‘inhaler’ dan ubat-ubat penting, seperti paracetamol dan antihistamina, selain meminum banyak air dan bernafas melalui hidung dan bukannya mulut bagi memastikan tubuh kekal terhidrat,” kata Sheryll, yang juga penyanyi sambilan.

-BTS Media

Leave a Comment