BTS Media

Penginapan ‘didakwa berhantu’ di Bukit Fraser’s dalam video tular belum pun dibuka

Oleh Yusoff A. Shariff

DAKWAAN baru-baru ini bahawa Bukit Fraser’s di Raub, Pahang kini menjadi lokasi berhantu tidak menggambarkan keadaan sebenar, kata kerajaan negeri.

Pengerusi Jawatankuasa Perpaduan, Pelancongan dan Kebudayaan Negeri, Leong Yu Man berkata post media sosial yang memaparkan sebuah bangunan di Bukit Fraser’s itu sebenarnya masih belum dibuka kepada orang ramai, lapor NST.

ANTARA penginapan di Bukit Fraser’s.

 

“Apa jua yang dipaparkan di media sosial adalah tidak benar tentang keadaan sebenar. Bangunan itu tidak dibuka untuk penginapan dan tidak menerima pelawat.

“Terdapat lima hotel di Bukit Fraser dan semuanya terbuka kepada pelawat,” katanya ketika menjawab soalan tambahan Tengku Zulpuri Shah Raja Puji (DAP-Raub) mengenai dakwaan viral baru-baru ini bahawa beberapa penginapan dikatakan berhantu.

SHAHZAN Inn, hotel popular di Bukit Fraser’s.

Bulan lalu, seorang pengguna TikTok berkongsi video sepanjang 18 saat tentang pengalaman percutiannya di Bukit Fraser dan berkata hotel yang ditempahnya dalam talian, amat berbeza daripada apa yang digambarkan oleh si pemilik.

Susulan itu beberapa orang menyokong pendapatnya, walaupun tidak benar dan mengatakan keadaan di Bukit Fraser’s amat menyedihkan.

Bagaimana pun, ramai penggemar setia Bukit Fraser’s tampil memberikan pelbagai pandangan yang kebanyakannya memuji tempat tersebut sebagai amat menyegarkan dan masih mengekalkan alam sekitar.

Mereka juga mempersoalkan apa sebenarnya yang dicari dan diinginkan oleh pengguna TikTok itu kerana konsep yang dipromosikan oleh Bukit Fraser’s bukan bersifat komersial membuta, tapi lebih kepada menawarkan kesegaran dan keaslian kehijauan destinasi pelancongan yang dingin dan menenteramkan jiwa.

SEBUAH restoran popular di Bukit Fraser’s.

Terdahulu, Leong memberitahu sidang Dewan Undangan Negeri bahawa kerajaan Pahang sentiasa memberi tumpuan kepada Bukit Fraser kerana tempat tersebut antara destinasi pelancongan utama di negeri itu.

Bukit Fraser, yang juga merupakan antara destinasi penggemar burung dunia yang popular sejak bertahun, mempunyai identiti tersendiri, terutamanya dalam kalangan pencinta alam semula jadi, katanya.

“Keunikannya ialah biodiversiti luas, selain destinasi bermusim pelbagai spesies burung liar.

Tahun ini, Fraser’s Hill International Bird Race edisi ke-36 akan diadakan,” katanya ketika menjawab soalan bertulis Tengku Zulpuri mengenai usaha untuk meningkatkan sektor pelancongan di Bukit Fraser.

LOUNGE di Shahzan Inn, Bukit Fraser’s yang masih menggunakan ‘fireplace’.

-BTS Media

Leave a Comment