BTS Media

Prof Dr Fatimah Hamid Don meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Profesor wanita Melayu pertama yang juga bekas Dekan Universiti Malaya (UM), Puan Sri Prof Dr Fatimah Hamid Don dilaporkan meninggal dunia di Hospital Tawakal di sini, awal pagi ini.

Balu kepada Allahyarham Tan Sri Ishak Pateh Akhir itu menghembuskan nafas terakhir pada pukul 2.35 pagi pada usia berusia 89 tahun.

Jenazah akan dibawa ke Masjid Tun Abdul Aziz, Seksyen 14, Petaling Jaya dari hospital pada pukul 10 pagi ini untuk dimandi dan dikafankan di masjid berkenaan sebelum dijangka dikebumikan selepas solat Zuhur hari ini.

Jenazah kemudian dijangka akan dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam PJS4, Taman Medan, di sini.

Allahyarham yang berasal dari Batu Gajah, Perak memiliki Ijazah Sarjana (Geografi) pada tahun 1968 dan Ijazah Kedoktoran (Pengajaran dan Kurikulum) (1971) dari University Southern California, Los Angeles, Amerika Syarikat.

Allahyarham memulakan kerjaya sebagai pensyarah pada 1972 di Fakulti Pendidikan, UM seterusnya dilantik sebagai Profesor Perkembangan Kurikulum yang juga Pakar Runding Kurikulum, Kementerian Pendidikan sekali gus menjadi wanita Melayu pertama yang dilantik menjadi professor.

Ketika pembabitannya sebagai pendidik, Allahyarham telah menulis dan mengeluarkan lebih 250 kertas kerja untuk majalah dan sebaran am.

Antara makalah yang memuatkan tulisan beliau ialah Jurnal Pendidikan, Wanita, Commonwealth Education Liaison Committee Newsletter dan prosiding persidangan-persidangan lain.

Allahyarham juga diberi amanat untuk terbabit menghasilkan draf Dasar Wanita Negara, Pelan Tindakan Pembangunan Wanita dan laporan persidangan wanita sedunia PBB serta laporan Convention on the Right of the Child (CRC) dan Convention on the Elimination of All Forums of Discrimination Against Women (CEDAW).

Sumbangan Allahyarham sangat besar terhadap bidang pendidikan di Malaysia selain aktif dalam membangunkan dasar dan menaiktarafkan kehidupan golongan wanita.

Dalam sektor pendidikan, Allahyarham pernah berkhidmat sebagai pakar dan menjadi ahli jawatankuasa dalam pelbagai organisasi serta pertubuhan.

Allahyarham juga dianugerahkan dengan pelbagai pingat dan darjah kebesaran antaranya ialah Darjah Setia Diraja Kedah (1989), Pingat Emas Tun Fatimah daripada Majlis Kebangsaan Pertubuhan-pertubuhan Wanita Malaysia dengan gelaran Srikandi (1988), Ijazah Kehormat Doktor Persuratan daripada Universiti Perguruan Sultan Idris (2001) dan Profesor Emeritus oleh UM (2004).

Di peringkat antarabangsa pula, Allahyarham diberi pengiktirafan Pi Lambda Theta (daripada Alpha Delta, University of California, Los Angeles, 1971), Citizen of the Age of Enlightenment Award (World government of the Age of Enlightenment-Maharishi European Research University, 1976), Honorary Fellowship of the International Understanding Honor Society, Ohio University, Athens (1985) dan menjadi ahli seumur hidup International Council on Education for Teaching, Washington DC, Amerika Syarikat.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/04/1093901/profesor-wanita-melayu-pertama-meninggal-dunia

Leave a Comment