Oleh Fetty Rara
DENGAN peningkatan jumlah kes Covid-19 sejak kebelakangan ini, pakar kesihatan menyarankan orang ramai supaya tidak mengambil ringan keadaan, dan mengamalkan semula pemakaian pelitup muka semasa berada dalam khalayak ramai.
Apatah lagi memandangkan musim raya yang akan menjelang pastinya menyaksikan amalan ziarah menziarahi dalam kalangan masyarakat.
Individu berisiko tinggi, seperti warga emas, obes, mereka yang mempunyai komorbiditi tinggi dan isu imunokompromi seperti diabetes dan kanser, adalah antara mereka yang berisiko mendapat jangkitan atau jangkitan semula.
“Oleh itu, mereka amat digalakkan memakai pelitup muka,” kata Prof Dr Sharifa Ezat Wan Puteh dari Universiti Kebangsaan Malaysia.
Begitu juga, beliau berkata individu yang belum melengkapkan vaksinasi mereka, sama ada dengan mendapatkan vaksin booster atau vaksin asas, harus memakai pelitup muka apabila berada dalam khalayak ramai, lapor The Star.
“Lebih baik selamat daripada menyesal. Dapatkan vaksinasi untuk diri, termasuk dos penggalak. Jika anda berisiko tinggi, pakai pelitup muka di kawasan awam di mana terdapat ramai orang yang mungkin membawa virus itu,” katanya.
Beliau juga menyentuh tentang peningkatan kes di sekolah-sekolah tertentu, di mana pelajar yang berisiko harus memakai pelitup muka.
“Peningkatan kes Covid-19 dijangka. Ia disebabkan oleh beberapa jenis virus Omicron yang sangat mudah berjangkit apabila orang ramai tidak memakai pelitup muka dan bergerak bebas merentasi negeri dan ketika berada di tempat kerja.
“Bagaimanapun, isu utama ialah sama ada peningkatan kes akan membawa kepada kemasukan ke hospital atau kematian,” katanya.
Menurut kenyataan Kementerian Kesihatan pada 13 April, angka kemasukan ke hospital telah meningkat sebanyak 17.6 peratus pada awal April berbanding bulan sebelumnya.
Menteri Kesihatan Dr Zaliha Mustafa berkata, 63.8 peratus membabitkan pesakit berumur 60 ke atas, manakala 90.7 peratus merupakan mereka yang mempunyai komorbiditi.
Kebanyakan mereka mempunyai gejala ringan. Kemungkinan berlaku kematian adalah enam kali lebih tinggi berbanding individu yang telah menerima sekurang-kuranya satu dos vaksin, tambah beliau.
Prof Dr Moy Foong Ming dari Jabatan Perubatan Sosial dan Pencegahan Universiti Malaya mencadangkan kementerian memperhebatkan maklumat awam mengenai kepentingan memakai pelitup muka dan menggalakkan orang ramai berbuat demikian semasa berlaku lonjakan kes.
Beliau juga menasihatkan ibu bapa supaya tidak menghantar anak ke sekolah jika mereka mempunyai gejala.
Bagaimanapun, Dr Moy berpandangan bahawa perkembangan sekarang tidak perlu mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka.
Beliau berkata mewajibkan orang ramai memakai pelitup muka tidak lagi sesuai memandangkan negara sedang beralih ke fasa endemik.
“Kita harus hidup bersama dengan virus tersebut, dan orang ramai sepatutnya memahami keperluan langkah pencegahan dan mengamalkannya secara sukarela apabila berlaku lonjakan kes,” katanya.
“Sekiranya pemakaian pelitup muka diwajibkan, maka perlu ada tindakan undang-undang bagi menghukum mereka yang tidak mematuhinya.
“Ini tidak akan mendidik orang ramai, sebaliknya mereka memakai pelitup muka kerana bimbang dikenakan hukuman.”
Presiden Persatuan Pakar Perubatan Kesihatan Awam Malaysia Datuk Dr Zainal Ariffin Omar juga berkata pelitup muka tidak seharusnya diwajibkan tetapi amat digalakkan.
Beliau berkata orang ramai perlu digalakkan untuk melakukan ujian kendiri dan mengamalkan kuarantin sendiri sekiranya mereka menunjukkan gejala.
Pakar epidemiologi perubatan Universiti Putra Malaysia Prof Madya Dr Malina Osman berkata langkah yang ada sekarang boleh dikekalkan, tetapi mereka yang didapati positif mesti memakai topeng untuk melindungi orang lain.
Beliau berkata, keputusan untuk mewajibkan pemakaian pelitup muka hanya perlu dibuat apabila peningkatan kes Covid-19 memberi ancaman kepada sistem penjagaan kesihatan negara.
Dr Malina berkata peningkatan kes sekarang ini berkemungkinan besar disebabkan oleh strain semasa yang sangat mudah berjangkit.
“Secara umumnya, kita perlu lebih berhati-hati. Oleh itu, orang ramai digalakkan untuk memakai pelitup muka apabila berada dalam khalayak ramai, menjaga kebersihan tangan dan etika batuk,” katanya.
-BTS Media