BTS Media

Dakwaan tiket penerbangan ekonomi KL-Tawau cecah RM3,138 tidak tepat, kata Loke

DAKWAAN tambang penerbangan bagi laluan Kuala Lumpur-Tawau pada 20 April mencecah RM3,138 bagi tiket kelas ekonomi adalah tidak tepat, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Dalam satu kenyataan, Loke berkata beliau menghubungi Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Malaysia Airlines Bhd (MAB) Kapten Izham Ismail hari ini dan dimaklumkan mengenai percanggahan fakta berkenaan.

“Izham mengesahkan semua tiket kelas ekonomi bagi penerbangan Kuala Lumpur-Tawau pada hari tersebut telah habis dijual dan hanya tinggal tiket kelas perniagaan.

“Beliau juga mengesahkan harga tiket (seperti yang didakwa) bukan untuk kelas ekonomi tetapi untuk kelas bisnes dan harga tiket sebenarnya adalah RM2,863.40 dan bukannya RM3,138,” katanya.

Loke berkata demikian bagi menjelaskan dakwaan bekas Menteri Pengangkutan Wee Ka Siong bahawa harga tiket penerbangan kelas ekonomi dari Kuala Lumpur ke Tawau pada 20 April lalu berharga RM3,138 dan oleh itu terlalu mahal, lapor Bernama.

Loke meminta Wee membetulkan faktanya dan memahami perbezaan antara tiket kelas bisnes dan ekonomi.

“Namun begitu, saya berterima kasih kepadanya atas keprihatinannya terhadap harga tiket penerbangan yang tinggi dan atas pandangan mengenai kapasiti tambahan,” katanya.

Loke berkata beliau akan mengadakan sidang media esok di Kementerian Pengangkutan untuk memberikan fakta tambahan mengenai kapasiti penerbangan untuk sambutan Aidilfitri tahun ini.

-BTS Media

Leave a Comment