BTS Media

Persoalan kenapa perlu laporan tragedi ‘Double Six dirahsiakan

Oleh Yusoff A. Shariff

SELEPAS penantian selama 47 tahun, laporan mengenai nahas udara “Double Six” di Sabah akhirnya didedahkan, banub disambut dengan kekecewaan oleh keluarga mangsa.

Ramai yang keliru mengapa kerajaan perlu mengambil masa hampir setengah abad untuk menyahklasifikasi laporan tersebut, dan hanya untuk meletakkan kesalahan kepada juruterbang pesawat.

Bagi anak bongsu bekas menteri Datuk Salleh Sulung, Iskandar Salleh, 52, ia amat mengecewakan kerana pihak keluarga telah menunggu selama 47 tahun hanya untuk mengetahui perkara sebegitu rupa.

Iskandar merasakan laporan itu tidak lengkap, tidak masuk akal dan tidak memuaskan.

Dia berkata Malaysia harus mendesak kerajaan Australia supaya menyahklasifikasi hasil siasatan mengenai nahas pesawat Nomad N22B, 9M-ATZ itu pada 6 Jun 1976, lapor The Star.

“Kami mahu laporan Australia, bukan hanya versi Malaysia ini. Sekarang timbul lebih banyak soalan daripada jawapan,” kata Iskandar.

TUN Fuad Stephens.

Menurut Iskandar, laporan itu juga menyalahkan syarikat penerbangan atas ketidakcekapan dalam memeriksa pesawat sebelum terbang, dan memikirkan sama ada dia dan keluarga perlu menyaman syarikat tersebut.

“Saya rasa jika syarikat itu benar-benar bersalah, maka mereka harus bertanggungjawab dan memberi pampasan kepada keluarga terbabit,” katanya.

Dia berkata, ramai yang tertanya-tanya mengapa kerajaan merahsiakan laporan itu jika ia berpunca daripada kesilapan juruterbang dan SOP. Pihak keluarga sudah lama menantikan jawapan.

Datin Jikilin Binion, 88, balu kepada mendiang timbalan menteri Datuk Darius Binion juga tidak percaya bahawa ia hanya kesilapan juruterbang.

“Jika ini rupa laporan itu, mengapa perlu buat kami menunggu 47 tahun, seolah-olah kerajaan menyembunyikan beberapa perkara rahsia yang kontroversial?” dia bertanya.

Jakilin berkata ramai daripada mereka yang terlibat dalam usaha bantuan susulan tragedi itu telah meninggal dunia, dan sekarang keadaan menjadi lebih sukar untuk mendapatkan jawapan sebenar tentang apa yang membawa kepada tragedi tersebut.

“Apa lagi yang boleh saya lakukan sekarang, selain terima sahaja,” tambahnya.

Sebelum laporan itu dikeluarkan, Jakilin berkata dia sangat gembira dan mengharapkan kali ini segala-galanya mungkin akan terjawab apabila Perdana Menteri Anwar Ibrahim mengumumkan bahawa kerajaan akan menyahklasifikasi laporan tersebut dan mendedahkannya kepada umum.

Dalam tragedi itu, 11 orang termasuk ketua menteri ketika itu, Tun Fuad Stephens terbunuh.

Mangsa lain dalam nahas pesawat itu ialah menteri negeri Datuk Peter Mojuntin dan Chong Thien Vun, setiausaha tetap Kementerian Kewangan Sabah Datuk Wahid Peter Andau, Isak Atan (setiausaha peribadi Tengku Razaleigh Hamzah, yang ketika itu menteri kewangan), Kpl Said Mohammad (pengawal peribadi kepada Fuad), juruterbang Kapten Gandhi J. Nathan dan anak sulung Fuad, Johari Stephens.

Mereka dalam penerbangan dari Labuan apabila pesawat itu terhempas di perairan Sembulan ketika menghampiri Lapangan Terbang Kota Kinabalu.

-BTS Media

Leave a Comment