Oleh Zainal AS Rashid
KITA selalu terdengar kisah pelancong menjadi mangsa penipuan oleh peniaga di negara yang mereka lawati.
Selalunya, mereka terpaksa membayar lebih daripada harga sebenar untuk barangan atau perkhidmatan, dan jarang sekali mereka membantah kerana masalah bahasa atau tidak mahu berdepan kesulitan yang mungkin menyusul.
Itulah yang berlaku kepada pasangan Youtuber British, Zoe dan Czar, yang dikenakan bayaran RM120 untuk gunting rambut di Kuala Lumpur baru-baru ini.
@zoeandczar_ What do you think? Do you also think 120 ringgit is far too much for a trim in a local barber shop in Kuala lumpur? First time this has happened to us in Malaysia 🇲🇾 #malaysia #kualalumpur #kualalumpurmalaysia #malaysiatiktok ♬ original sound – Zoe&Czar
Video TikTok yang telah tular menunjukkan Zoe dan Czar mengunjungi sebuah kedai gunting rambut di Bukit Bintang, Kuala Lumpur yang mengiklankan perkhidmatan gunting rambut pada harga RM19.
Semasa menggunting rambut, tukang gunting itu berbual mesra dengan Czar, dan bertanya dari mana dia berasal.
Czar menjawab bahawa dia berasal dari Filipina, tetapi kini menetap di England bersama Zoe.
Setelah selesai menggunting rambut, tukang gunting mengenakan bayaran RM120 kepada mereka, yang jelas berbeza daripada harga yang diiklankan.
Zoe dan Czar kemudian bertanya kepada dua penduduk tempatan sama ada harga itu berpatutan dan mereka diberitahu ia tidak boleh melebihi RM50.
Apabila mereka berdepan dengan tukang gunting itu, dia menjadi terus mempertahankan caj yang dikenakan, dengan mendakwa bahawa warga asing perlu membayar cukai lebih tinggi untuk perkhidmatan tempatan dan rambut di muka Czar memerlukan kerja lebih rumit.
Selepas kejadian itu, Zoe dan Czar meninggalkan kedai dengan perasaan marah dan kecewa, kerana pengalaman tersebut telah merosakkan hari mereka.
Walaupun Zoe mengakui bahawa memang munasabah untuk warga asing dikenakan bayaran lebih, tapi harga RM120 itu adalah keterlaluan dan tidak wajar.
Pasangan itu meluahkan kekecewaan kerana dalam banyak keadaan orang tempatan mengandaikan bahawa pelancong mempunyai banyak wang, justeru boleh dikenakan harga tinggi.
Zoe dan Czar berkata sebelum ini mereka pernah melawat Malaysia, tetapi tidak pernah berdepan keadaan sedemikian.
“Bayangkan jika ini kali pertama kami ke sini. Mungkin kami serik dengan apa yang berlaku dan tidak lagi mahu datang ke Malaysia. Dalam keadaan ini, anda perlu memikirkan kesan berpanjangan dan tanggapan pelancong terhadap Malaysia,” kata Zoe.
Beberapa komen pada video itu juga menyebut bahawa warga asing (Zoe dan Czar) telah ditipu oleh warga asing lain, merujuk kepada tukang gunting rambut yang dipercayai dari Mesir.
-BTS Media