BTS Media

Polis Israel sekali lagi serbu ganas Masjid Al-Aqsa

Oleh Fetty Rara

POLIS Israel pada Rabu menyerbu perkarangan Masjid Al-Aqsa di Baitulmaqdis Timur untuk malam kedua berturut-turut sejak Ramadan bermula.

Berpuluh-puluh polis Israel yang bersenjata lengkap menyerbu masuk ke dalam surau al-Qibli di perkarangan masjid, ketika hampir 20,000 jemaah masih menunaikan solat Tarawih, lapor Agensi Berita & Maklumat Palestin, WAFA.

Polis memasuki kawasan masjid itu secara kejam menyerang jemaah Palestin, membelasah dengan kayu dan melontar bom tangan gegaran, gas pemedih mata dan peluru keluli bersalut getah untuk mengusir jemaah secara paksa dari tapak suci umat Islam itu.

Persatuan Bulan Sabit Merah Palestin (PRCS) mengesahkan bahawa sebilangan jemaah mengalami kecederaan dan sesak nafas akibat gas pemedih mata dan terpaksa dirawat setelah dipukul dan terkena tembakan peluru keluli bersalut getah ketika sedang solat.

Seorang jemaah wanita warga emas berkata dia sedang membaca al-Quran di perkarangan masjid apabila polis Israel menyerbu sambil melancarkan bom tangan gegaran yang terkena dadanya hingga menyebabkan dia payah bernafas.

Kejadian itu telah mencetuskan protes di seluruh wilayah Tebing Barat, dan kecaman daripada semua negara Arab dan negara-negara Islam di serata dunia.

Jurucakap Presiden Palestin Mahmoud Abbas,  Nabil Abu Rudeineh dipetik oleh Reuters  bahawa pihak Palestin memberi amaran kepada pihak Israel yang menduduki Gaza supaya tidak melintasi garis merah di tapak suci itu, kerana ia akan mencetus kebangkitan lebih besar.

Akhbar Arab News melaporkan tentera Israel berkata pihak pejuang Palestine di Gaza telah melancarkan sembilan roket dari ke arah Israel. Sekurang-kurangnya empat berjaya dipintas oleh sistem pertahanan angkasa ‘Iron Dome’, dan dua meletup di kawasan lapang tanpa penduduk.

-BTS Media

Leave a Comment