BTS Media

Penghakiman minoriti bukan alasan semakan, perbicaraan semula – Majlis Peguam

KUALA LUMPUR: Majlis Peguam menegaskan, penghakiman berbeza dalam permohonan semakan kes SRC International membabitkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, bukanlah alasan untuk semakan atau perbicaraan semula pada masa hadapan, kata Badan Peguam Malaysia.

Presidennya, Karen Cheah, berkata semua pihak perlu faham bahawa penghakiman berbeza dalam sistem perundangan Malaysia, hanyalah perbezaan pendapat dan penghakiman majoriti yang sebenarnya diguna pakai.

“Tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa sebarang tafsiran lain akan menjadi songsang dan menyalahgunakan proses mahkamah.

“Oleh itu, percubaan berterusan untuk mengeksploitasi penghakiman minoriti untuk membingungkan orang ramai mengenai prinsip-prinsip undang-undang yang kukuh dalam sistem keadilan.

“Kita hanya akan menyumbang kepada usaha merosakkan keyakinan yang diletakkan oleh kita semua terhadap kehakiman sebagai institusi yang dihormati,” katanya menerusi satu kenyataan di sini.

Cheah menegaskan, perlu ada kepastian dalam hal litigasi dan struktur undang-undang harus memastikan perkara tersebut.

Katanya, jika pendapat minoriti menyebabkan semakan semula, maka tidak akan berlaku kesudahan untuk litigasi.

“Ia juga akan membuka pintu kepada peguam dan hakim yang terdedah kepada ‘strategi yang tidak menyenangkan’ atau ‘pengaruh luar’ hanya untuk menyebabkan situasi semakan semula dan menghalang jalannya keadilan,” katanya.

Cheah berkata, keputusan majoriti 4 berbanding 1 terhadap bekas perdana menteri itu juga bermakna kes SRC International harus dianggap res judicata, bermakna ia sudah diadili mahkamah yang berwibawa.

Baca lagi: https://www.bharian.com.my/berita/nasional/2023/04/1085775/penghakiman-minoriti-bukan-alasan-semakan-perbicaraan-semula-majlis

Leave a Comment