Perbicaraan kes 1MDB membabitkan Najib Razak di Mahkamah Tinggi hari ini menyaksikan pertengkaran antara peguam bekas perdana menteri itu dengan seorang saksi berhubung penglibatan saksi tersebut dalam syarikat berkenaan.
Ia bermula semasa pemeriksaan balas oleh peguam Shafee Abdullah terhadap bekas menteri kewangan kedua Ahmad Husni Hanadzlah.
Shafee menyoal Husni mengenai tandatangannya yang meluluskan memorandum dan artikel pertubuhan (M&A) Terengganu Investment Authority (TIA), iaitu badan pendahulu 1MDB.
Husni berkata, semua dokumen dan surat berkaitan 1MDB dan SRC International sampai ke pejabat Najib terlebih dahulu.
“Semua urusan 1MDB dan SRC International akan diuruskan oleh menteri kewangan (Najib).
“Projek-projek ini (1MDB dan SRC) tidak mengikut SOP (prosedur operasi standard) bagi semua syarikat bawah MoF Inc (Menteri Kewangan Diperbadankan).
“Jadi semuanya datang daripada (pihak) atasan saya (sebagai menteri kewangan kedua) untuk menandatanganinya.
“Ini prosedurnya,” katanya ketika menjelaskan penggunaan frasa “Saya hanya menurut perintah”.
Shafee memberitahu Husni bahawa beliau tidak menjawab soalannya, iaitu “Apakah proses pengesahan di Kementerian Kewangan untuk surat-surat daripada syarikat berkaitan kerajaan sebelum ia sampai kepada Husni?”
“Saya tanya anda satu soalan, awak jawab soalan itu. Jangan bertekak dan jangan sombong,” kata peguam itu kepada Husni.
Membela dirinya, Husni menjawab, beliau bukannya cuba bertekak dan tidak bersikap sombong.
Hakim perbicaraan Collin Lawrence Sequerah cuba meredakan keadaan dan mengarahkan Husni menjawab soalan itu.
“Pihak pendakwaan akan memberi anda peluang kemudian semasa pemeriksaan semula. Anda tidak perlu risau.
“Pihak pembelaan mempunyai kewajipan untuk mengemukakan kes mereka,” kata Sequerah.
Husni kemudian berkata, Shafee cuba menyalahkan orang lain.
“Walaupun beliau mempunyai kewajipan, beliau kena jujur,” katanya.
Shafee terus bertanya lebih lanjut mengenai M&A TIA dan bagaimana Husni mengetahui kewujudannya.
Husni berkata, beliau membantah penubuhan 1MDB dan telah menzahirkan kebimbangannya kepada Najib.
“Beliau (Najib) beritahu saya, ‘Saya akan teruskan’. Saya tahu kuasa terletak padanya,” katanya.
Shafee, yang menganggap respons Husni itu menjengkelkan kerana tidak menjawab soalan, memberitahu mahkamah bahawa beliau mungkin mengambil masa sehingga tiga hari untuk memeriksa balas saksi tersebut.
“Saya berjanji dengan timbalan pendakwa raya saya akan ambil masa setengah hari. Ini sikapnya semasa SRC (perbicaraan SRC International) dan kini beliau cuba bawanya dalam perbicaraan ini,” katanya selain menambah bahawa Husni turut dipanggil untuk memberi keterangan dalam kes SRC International Najib.
Husni mencelah dengan berkata, beliau tidak keberatan sekalipun Shafee memeriksa balasnya selama “setahun”.
Sequerah kemudian memberi Shafee dan Husni 10 minit untuk menenangkan diri. Apabila perbicaraan disambung, kedua-duanya kelihatan tenang.
Najib berdepan 25 tuduhan salah guna kuasa dan pengubahan wang haram berhubung dana yang didakwa milik 1MDB berjumlah RM2.28 bilion yang didepositkan ke dalam akaun AmBanknya antara Februari 2011 dan Disember 2014.