BTS Media

Jualan juadah daging babi dikesan di Bazar Ramadan Singapura

Oleh Fetty Rara

BEBERAPA gerai di sebuah bazar Ramadan, Bazar Raya Utara, Woodlands, Singapura didapati menjual produk daging babi pada hujung minggu lalu (25 dan 26 Mac).

Menurut Pejabat Kawasan Pilihan Raya Marsiling, perkara itu dilaporkan oleh orang awam yang melihatnya dan segera disiasat oleh pihak penganjur.

Dalam catatan Facebook pada Isnin (27 Mac), Pejabat Kawasan Pilihan Raya Marsiling mengesahkan bahawa penganjur telah berhubung dengan pengendali gerai dan telah mengambil langkah segera untuk menghentikan penjualan daging babi.

Mereka juga memberi jaminan kepada penduduk dan pengunjung bazar bahawa usaha akan dibuat untuk “menyediakan yang terbaik untuk Ramadan.”

Menurut laporan Berita Harian Singapura, terdapat lebih 80 peratus gerai makan menjual makanan dan minuman halal, dan kira-kira 10,000 pengunjung dianggarkan mengunjungi bazar itu setiap hari sepanjang Ramadan.

Penjualan daging babi di bazar berkenaan telah menimbulkan kebimbangan penduduk kerana ia mencemarkan kesucian bulan mulia ini.

Perkara itu juga telah menyerlahkan perlunya pematuhan ketat terhadap piawaian makanan halal di Singapura, terutama pada bulan Ramadan apabila umat Islam menjalani ibadah puasa.

Pengguna Facebook ‘Slim Shaa’, yang berkunjung ke bazar itu mengulas, “Sebilangan besar daripada mereka… salah satu gerai menjual daging babi; ia terletak betul di tengah-tengah bazar dan bukannya di satu sudut…”

Pihak penganjur telah memohon maaf atas sebarang kesulitan dan kebimbangan yang ditimbulkan dan menyatakan bahawa mereka akan memastikan kejadian itu tidak berulang.

Pemantauan didapati bahawa bukan hanya bazar tersebut didapati menjual produk babi.

Seorang penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Lisa memberitahu Yahoo Southeast Asia semalam (Selasa 28 Mac) bahawa dia terkejut apabila mendapati sebuah gerai menjual masakan daging babi di tengah-tengah Bazar Ramadan Sembawang West, yang terletak bertentangan dengan stesen MRT Admiralty.

Menurut Lisa, dia mengunjungi bazar tersebut hujung minggu lalu dan mendapati sebuah gerai Thai menjual daging bercucuk (seperti kebab). Dia yang amat terkejut berasa pasti ia 100 peratus daging babi dijual di tengah-tengah bazar Ramadan.

Sebagai alasan, penganjur acara itu Adex International, memberitahu Yahoo Southeast Asia pada Selasa bahawa Bazar Ramadan Sembawang West dibahagikan kepada dua bahagian, satu menjual makanan halal dan satu lagi tidak halal.

-BTS Media

Leave a Comment