BTS Media

Ziarah rumah ibadat bukan Islam: PAS junjung kasih titah Sultan Selangor

PAS Selangor hari ini menjunjung kasih titah Sultan Sharafuddin Idris Shah mengenai kunjungan umat Islam ke rumah ibadat agama lain.

Bagaimanapun, ketua PAS negeri Ahmad Yunus Hairi sama sekali tidak mengulas mengenai pendirian Sultan Selangor bahawa tiada apa yang menghalang umat Islam daripada mengunjungi tempat ibadat lain tanpa mengambil bahagian dalam sebarang upacara atau amalan agama berkenaan.

Ahmad Yunus cuma menumpukan terhadap titah Sultan Sharafuddin mengenai larangan menyebarkan agama lain terhadap umat Islam dalam wawancara bersama The Star hari ini yang mana baginda menyifatkan pandangan Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) sebagai betul dan jelas.

“Dengan penuh tanggungjawab dan prihatin Tuanku Sultan mengingatkan rakyat negeri ini bahawa demi mengelakkan sebarang kekeliruan dan salah-faham tambahan telah sedia ada undang-undang yang melarang penyebaran agama dan kepercayaan lain di kalangan umat Islam, maka keputusan larangan MAIS ini sangatlah tepat dan wajar,” kata Ahmad Yunus pada satu kenyataan hari ini.

Dua minggu lalu, MAIS berkata program yang dibuat untuk memujuk atau mempengaruhi mana-mana orang Islam untuk cenderung atau minat kepada agama bukan Islam dilarang di Selangor dan menjadi satu kesalahan di bawah Enakmen Ugama Bukan Islam (Kawalan Pengembangan Di Kalangan Orang Islam) 1988.

MAIS bagaimanapun menjelaskan program mempelajari agama lain selain Islam di gereja atau rumah ibadat agama lain memerlukan kawalan dan sekatan tertentu.

Ini tegas MAIS, supaya memastikan tiada elemen memujuk orang Islam terpengaruh dan minat dengan agama lain selain Islam, selain tiada penglibatan orang Islam dalam ritual agama lain.

PAS pastikan larangan MAIS dipatuhi

Sultan Sharafuddin juga dilaporkan menggesa ahli politik untuk “membaca dan membuat rujukan” sebelum mengulas kenyataan MAIS baru-baru ini.

Sementara itu, Ahmad Yunus berkata PAS Selangor mengambil kesempatan ini menyeru semua umat Islam Selangor agar akur dan taat pada larangan sebar agama lain di kalangan umat Islam.

“Keharmonian antara agama dan kehidupan rukun damai dikalangan rakyat Selangor yang berbilang kaum sangat penting demi kestabilan dan kemakmuran negeri ini.

“PAS akan sentiasa menekankan aspek ini dan dalam waktu yang sama memastikan agar larangan pihak MAIS ini dipatuhi semua pihak,” katanya.

Pendirian MAIS terhadap orang Islam yang mempelajari agama lain itu merupakan maklum balas terhadap kontroversi baru-baru ini berikutan program “Jom Ziarah” untuk menggalakkan sikap saling menghormati dan persefahaman tentang kepelbagaian agama di negara ini.

Impact Malaysia – sebuah agensi di bawah Kementerian Belia dan Sukan – menganjurkan program belia dibawa melawat ke rumah ibadat yang berbeza.

Bagaimanapun, Sultan Sharafuddin menegaskan semasa wawancara baginda bahawa umat Islam boleh mengunjungi rumah ibadat agama lain – jika mereka tidak mengambil bahagian dalam ritual.

Baginda turut mengimbau kisah silam sewaktu almarhum datuknya, Sultan Alam Shah, menghadiri pertabalan Ratu Elizabeth II pada 1953 di gereja Westminster Abbey di London.

“Baginda baru pulang dari Mekah, kemudian berunding dengan mufti negeri jika berkenan untuk menghadiri pertabalan.

“Mufti berkata tidak ada salahnya asalkan beliau tidak mengambil bahagian dalam mana-mana ibadah,” titahnya.

Sultan Sharafuddin juga bertitah ayahanda baginda Almarhum Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah diberitahu oleh mufti bahawa dibenarkan memakai pingat dan lencana pada pakaian seragam baginda, termasuk yang menyerupai salib kerana itu bukan barangan keagamaan.

Pun begitu, Ahmad Yunus tidak mengulas mengenai aspek temu bual tersebut.

Sultan Selangor juga memberi peringatan kepada semua pemimpin politik – tanpa mengira kaum – supaya tidak menjadikan agama untuk menjadikan diri mereka popular.

Titah Sultan Sharafuddin, larangan itu dibuat atas kapasiti baginda sebagai pihak berkuasa yang bertanggungjawab dalam hal ehwal Islam di Selangor bersama MAIS.

“Hanya saya sebagai ketua agama Islam di Selangor dan MAIS pihak berkuasa agama di negeri ini.

“Ahli politik boleh berkata apa sahaja yang mereka mahu tetapi mereka tidak mempunyai kata putus atau kuasa,” titah baginda dalam temu bual eksklusif dengan The Star.

Baca lagi: https://www.malaysiakini.com/news/660069

Leave a Comment