BTS Media

Polis: Suspek mengamuk di jalan raya bebas selepas kedua-dua pihak setuju selesai sesama sendiri

SEORANG lelaki yang memukul seorang doktor berusia 67 tahun susulan satu kemalangan kecil di jalan raya baru-baru ini telah menyelesaikan perkara itu sesama sendiri.

Oleh yang demikian, polis tiada pilihan selain membebaskan suspek.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata suspek dibebaskan selepas perintah reman terhadapnya tamat.

Suspek ditahan Selasa lalu selepas polis mendapat perintah reman dua hari terhadapnya.

Mohamad Farouk berkata, suspek dan keluarga mangsa telah berbincang bagi menyelesaikan perkara itu dan kedua-dua pihak telah mencapai kata sepakat untuk tidak meneruskan perkara tersebut.

Polis menahan lelaki tempatan itu selepas dia didakwa menyebabkan kecederaan dan mengugut doktor tersebut dalam kemalangan jalan raya di Ampang.

Dalam kejadian pada kira-kira pukul 10.30 pagi di persimpangan lampu isyarat Jalan Kolam Air Lama itu, sebuah kereta jenis Mercedes Benz berwarna putih dipandu lelaki tersebut merempuh bahagian belakang kereta yang dipandu doktor.

Selepas tiba di stesen minyak berhampiran, suspek memberhentikan keretanya di hadapan kereta doktor. Dia kemudian keluar dari kereta dan pergi membuka pintu kereta doktor.

Polis berkata, suspek telah menumbuk pipi kanan doktor, menarik rambut mangsa dan menendangnya.

Kejadian itu dirakam oleh orang ramai dan rakaman video kejadian menjadi tular di media sosial.

Suspek berusia 27 tahun itu kemudiannya ditahan di ibu pejabat polis daerah Ampang Jaya selepas memberi keterangan.

Suspek tidak mempunyai rekod jenayah dan didapati negatif dadah.

Akhbar NST hari ini melaporkan bahawa Persatuan Perubatan Malaysia (MMA) menggesa agar tidak bertolak ansur terhadap kejadian sebegitu dan berkata ia membimbangkan apabila mendengar rakan sekerja warga emas menjadi mangsa terbaru amuk jalan raya.

-BTS Media

Leave a Comment