BTS Media

Zahid kata MRSM berbayar akan guna pembiayaan swasta, bukan atas tanah rakyat miskin

TIMBALAN Perdana Menteri, Ahmad Zahid Hamidi, memberi jaminan penubuhan Maktab Rendah Sains MARA (MRSM) berbayar tidak akan menggunakan peruntukan kerajaan atau dibina di atas tanah rakyat miskin.

Ahmad Zahid, yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), berkata kerajaan akan menggunakan pembiayaan swasta (PFI) dan bekerjasama dengan institusi kewangan untuk pembiayaan MRSM terbabit.

Katanya, permintaan untuk memasuki MRSM berada di tahap lebih 300 peratus daripada kemampuan dan hal itu perlu ditangani serta dilakukan dengan kaedah di luar kotak.

“Kerajaan juga sudah melakukan kajian kebolehlaksanaan dan melihat ramai pelajar yang berkelayakan untuk memasuki MRSM, tetapi tidak layak dari segi pendapatan ibu bapa,” katanya pada Waktu Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat, hari ini.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Syed Saddiq (PN-Muar) berhubung proses dan sumber pendanaan untuk membina MRSM berbayar.

“Saya juga akan berjumpa dengan pengerusi muafakat dan Persatuan Ibu Bapa Dan Guru (PIBG) MRSM masing-masing supaya pelajar B40 tidak terbeban dengan kos tersembunyi,” katanya.

Sebelum ini, Pengerusi MARA, Asyraf Wajdi Dusuki mencadangkan MRSM berbayar diwujudkan khusus untuk segmen masyarakat elit berpendapatan tinggi.

Asyraf Wajdi berkata, MRSM berbayar itu boleh diuruskan oleh Kumpulan Mara Corporation (Mara Corp).

Beliau percaya, wujud permintaan oleh ibu bapa daripada golongan elit yang mahu anak mereka memasuki sistem MRSM.

“Mereka sanggup menanggung kosnya walaupun berkemampuan menghantar anak ke sekolah elit swasta antarabangsa.

-BTS Media

Leave a Comment