Oleh Fetty Rara
WARTAWAN veteran Johan Jaaffar mengkritik orang kerajaan yang menggunakan media sebagai kambing hitam untuk mengelak daripada dipertanggungjawabkan atas kesilapan mereka sendiri.
Johan membuat kenyataan itu dalam mengulas tuduhan Menteri Perpaduan Nasional Aaron Ago Dagang baru-baru ini bahawa media “sengaja mahu mengapi-apikan” mengenai isu sensitif, khususnya berkaitan kaum dan agama.
Dalam satu kenyataan pada hari Khamis, Johan berkata beliau “tidak boleh diterima sama sekali” tindakan menteri itu membuat tuduhan sedemikian dan meminta menteri berkenaan supaya lebih bertanggungjawab dalam kenyataannya.
Beliau menegaskan bahawa adalah penting bagi pegawai kerajaan, khususnya menteri mengakui kekhilafan dan kesilapan mereka sendiri, daripada melencongkan tuduhan terhadap media.
“Saya terkejut beliau memberikan amaran keras agar pengamal media tidak menjadi batu api selain mendesak media agar menghentikan perbuatan itu.
“Tuduhan yang dilontarkan oleh menteri berkenaan tidak menepati sasaran. Pengamal media faham peranan mereka dalam negara Malaysia yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama,” katanya dalam satu kenyataan.
Johan berkata, pengamal media tahu peranan mereka dalam negara yang terdiri daripada rakyat pelbagai kaum dan agama.
Beliau berkata, pengamal media memahami tanggungjawab untuk tidak menyemarakkan ketegangan di antara kaum walaupun berpegang kepada kebebasan media.
Johan tegas menyatakan bahawa kekecohan yang berlaku belakangan ini berpunca daripada ahli politik yang tidak bertanggungjawab dan bukannya media.
“Peningkatan suhu dalam konteks hubungan kaum pada masa ini berakibat daripada ahli-ahi politik yang cuba mengapi-apikan isu perkauman demi kepentingan mereka sendiri.
“Saya menyeru para menteri agar jangan menyalahkan media apabila keadaan menjadi buruk atau tidak seperi mana yang mereka harapkan.
“Jangan salahkan orang yang membawa mesej. Jangan kecam media bagi mengelakkan daripada dipersalahkan oleh sebab langkah yang silap, ketelanjuran atau kesilapan mereka sendiri,” katanya.
Sebelum ini, media melaporkan Aaron menuding jari kepada media apabila ditanya mengenai isu kontroversi program ‘Jom Ziarah Gereja’.
-BTS Media