BTS Media

Acara lucah ‘Thai Hot Guy’ tak sensitif ketika umat Islam menjalani ibadah Ramadan – Takiyuddin

Oleh Yusoff A. Shariff

ACARA dianggap tidak senonoh dijadualkan berlangsung pada 30 Mac ini di sebuah premis di Kuala Lumpur mendapat kecaman daripada pelbagai pihak yang akan menjalani ibadah Ramadan.

Bagi Setiausaha Agung PAS Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia bertentangan dengan budaya tempatan, selain tidak sensitif kepada umat Islam.

Lebih teruk lagi, menurut Takiyuddin, nama bekas perdana menteri Allahyarham Tun Abdul Razak digunakan pada nama bar di mana acara itu akan berlangsung.

Beliau berkata pihak berkuasa perlu lebih berhati-hati dalam membenarkan mana-mana syarikat atau individu menggunakan nama tertentu tanpa mengambil kira sama ada ia sesuai atau pun tidak.

Takiyuddin menambah berdasarkan poster acara itu ia mempromosikan budaya lucah dan hedonisme.

Bagi Ketua Dewan Ulama PAS Pusat, Datuk Ahmad Yahaya kehadiran kumpulan yang sepatutnya membuat mempersembahkan itu disifatkan menjijikkan, tidak senonoh serta mendorong ke arah mempromosi ideologi dan perlakuan songsang LGBT (lesbian, gay, biseksual dan transgender) dalam negara.

“Saya mengecam sepenuhnya penganjuran program Grand Opening Privacy Club Tun Razak dengan Thai Hot Guy disenarai sebagai jemputan dalam program tersebut.

“Kumpulan Thai Hot Guy yang menampilkan lelaki berpakaian wanita itu bertentangan dengan agama dan budaya ketimuran yang diamalkan di Malaysia.

“Ia juga bertentangan dengan Akta Kesalahan Jenayah Syariah (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1997,” katanya di Facebook pada Selasa sambil menyifatkan keadaan itu bertentangan dengan prinsip Madani.

Dalam perkembangan berkaitan, akhbar Sinar Harian melaporkan Timbalan Menteri Hal Ehwal Sabah, Sarawak dan Tugas-tugas Khas, Wilson Ugak Kumbong menasihatkan dengan selamba kepada Ahmad Fadhli supaya tidak menghadiri program itu.

Sementara itu, Kementerian Dalam Negeri (KDN) akan meneliti mengenai penganjuran acara tersebut.

Menteri Dalam Negeri, Saifuddin Nasution Ismail berkata, penganjuran sebarang aktiviti perlu mengambil kira sensitiviti masyarakat pelbagai kaum.

“KDN (Kementerian Dalam Negeri) akan mengenal pasti fakta, siapa (penganjur) yang buat, kelulusan dari pihak mana, sama ada pihak berkuasa tempatan atau mana-mana (pihak),” katanya pada sidang akhbar selepas Perhimpunan Bulanan KDN pada Rabu.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas desakan beberapa pihak yang mahu kerajaan membatalkan acara itu.

-BTS Media

Leave a Comment