BTS Media

Ambil tindakan terhadap Tun Mahathir bawah Akta Hasutan – Nazri Aziz

BEKAS ahli parlimen UMNO, Nazri Abd Aziz, menggesa tindakan diambil di bawah Akta Hasutan terhadap Tun Dr Mahathir Mohamad kerana mengkritik kerajaan.

Nazri yang merupakan Duta Malaysia ke Amerika Syarikat, mendakwa apa yang dilakukan Mahathir jelas bertujuan untuk menghasut rakyat supaya membenci kerajaan sedia ada.

Dia berkata kerajaan tidak perlu takut untuk mengambil tindakan terhadap Mahathir walaupun beliau bekas perdana menteri.

Nazri seterusnya mendakwa bahawa di bawah pentadbiran Tun Mahathir, sesiapa yang mengadakan perhimpunan mengkritik kerajaan dianggap dihukum di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA).

“Kalau tidak percayakan saya, tanya Ibrahim Ali (presiden Parti Bumiputera Perkasa Malaysia (PUTRA),” katanya seperti dilaporkan Astro Awani.

Ibrahim adalah antara individu yang pernah ditahan di bawah ISA melalui Ops Lalang pada 1987.

Nazri memberi respons susulan kenyataan Mahathir bahawa wujud campur tangan kerajaan di sebalik pembatalan tempahan lokasi untuk penganjuran Proklamasi Orang Melayu yang dirancangnya Ahad lalu.

-BTS Media

Leave a Comment