MENTERI Besar Kedah, Datuk Seri Muhammad Sanusi Md Nor, menegaskan ucapannya dalam satu ceramah politik yang menyebabkan beliau disaman oleh Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah berdasarkan fakta bahawa Anwar dipecat daripada Kabinet dan UMNO pada 1998.
Dalam pernyataan pembelaan terhadap saman difailkan Anwar, beliau berkata, ucapannya dalam ceramah kempen ‘Jelajah PN Best Tambun’ menjelang Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu adalah berdasarkan fakta benar.
Pengerusi Perikatan Nasional (PN) Kedah merangkap Pengarah Pilihan Raya PAS itu, berkata Anwar dipecat kerana melakukan perbuatan yang menjadikannya tidak layak memimpin negara seperti kenyataan yang dikeluarkan Perdana Menteri ketika itu, Tun Dr Mahathir Mohamad.
Beliau berkata, ucapan itu juga berdasarkan fakta benar bahawa Anwar disabitkan bersalah atas jenayah salah laku seperti penemuan oleh Mahkamah Persekutuan yang penghakimannya dibacakan bekas Hakim Mahkamah Persekutuan yang juga bekas Ketua Hakim Negara, Tun Abdul Hamid Mohamad.
Katanya, selain penjelasan oleh Abdul Hamid mengenai kes itu dalam penulisannya pada 2018, fakta lain ialah kes membabitkan bekas pembantu penyelidik Anwar, Yusoff Rawthers serta persepsi dan andaian munasabah dalam kalangan masyarakat akibat pengampunan diberikan Yang di-Pertuan Agong.
“Ucapan itu adalah berdasarkan fakta yang benar setelah mengambil kira inti pati dan isi kandungan perintah pengampunan penuh dan serta-merta,” katanya dalam pernyataan pembelaan yang difailkan firma guaman mewakilinya, Tetuan Yusfarizal Aziz & Zaid pada 13 Februari lalu.
Pada 13 Disember lalu, Anwar, 76, selaku plaintif memfailkan saman menerusi Tetuan SN Nair & Partners di Mahkamah Tinggi Alor Setar, Kedah dengan menamakan Muhammad Sanusi, 49, sebagai defendan tunggal.
Berdasarkan pernyataan tuntutan, Perdana Menteri mendakwa pada 13 November lalu, Muhammad Sanusi memberi ucapan pilihan raya pada ceramah sebagai menyokong calon PN bagi Parlimen Tambun, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, dengan ratusan pengunjung menghadiri ceramah itu.
Pada 16 November, Anwar menuntut defendan menarik balik, memohon maaf, mengaku janji untuk tidak mengulangi dan membayar ganti rugi kepada plaintif, namun defendan melalui surat peguam bertarikh 7 Disember, membalas surat dan menyatakan pengakuan tidak berbelah bahagi mengenai fakta ucapan itu.
Sehubungan itu, plaintif memohon ganti rugi am, teruk serta teladan selain perintah untuk menghalang defendan daripada terus mengungkap, mengarang atau menerbitkan kenyataan serupa terhadap plaintif serta relif lain difikirkan sesuai oleh mahkamah.
Muhammad Sanusi bagaimanapun menegaskan tidak pernah berniat jahat untuk menghasut orang ramai dengan cara memfitnah plaintif dengan perkara yang tidak benar, sebaliknya sekadar memberikan kritikan terhadap plaintif berdasarkan fakta dan latar belakang plaintif.
Sementara itu, Anwar menerusi jawapan pembelaan yang difailkan pada Isnin lalu, berkata kenyataan yang didakwa dikeluarkan Dr Mahathir itu bersifat dengar cakap sahaja dan defendan diletakkan ke atas beban bukti kukuh.
Anwar juga menegaskan beliau diampunkan sepenuhnya oleh Yang di-Pertuan Agong di mana tujuan dan kesan utama titah bagi memerintahkan pengampunan diraja adalah untuk pemadaman penuh dan muktamad semua atau mana-mana keburukan terhadap plaintif berkenaan pertuduhan jenayah dan sabitan.
“Kesan undang-undang pengampunan diraja ialah memadamkan semua sabitan dan hukuman serta menghapuskan kesalahan lampau di sisi undang-undang. Plaintif adalah seorang yang tidak bersalah.
“Sebarang kenyataan lanjut yang dibuat berhubung perkara yang sama adalah fitnah yang boleh diambil tindakan tanpa mengambil kira perkara yang sama kekal dalam rekod kehakiman.
“Apa yang penting ialah akibat dan kesan kedudukan undang-undang selepas pemberian pengampunan penuh jika dibandingkan daripada pengampunan bersyarat,” katanya.